Home » JKDM talian hayat UMNO
Politik Sudut Pandangan

JKDM talian hayat UMNO

Apa pun pendirian Kerajaan Negeri berkaitan JKDM itu tidak akan diterima oleh pemimpin Umno kerana jelas ianya merupakan penyambung nyawa parti itu di Sabah. Foto : UMNO Sabah OnLine

DIANGGARKAN sejumlah RM350juta dana Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk Sabah berkategori “fast money” digunakan sebagai talian hayat untuk Umno Sabah sehingga DUN Sabah dibubarkan.

Peruntukan itu selain digunakan untuk membayar elaun 38 JKDM di setiap DUN juga untuk projek-projek one-off kendalian jawatankuasa itu yang dikenal pasti oleh Ketua Bahagian parti dan juga wakil rakyat atau pemimpin daripada parti itu.

Jumlah RM350juta bukan lah sedikit, cukup mengembirakan setiap ahli/penyokong bagi setiap JKDM yang beranggotakan antara 500-700 orang.

Berpandukan pada kelompok umur JDKM memang dilihat bahawa jawatankuasa itu untuk mengikat penyokong tegar parti selain menyasarkan kelompok pengundi atas pagar dan undi18 dan pengundi kali pertama.

Nampaknya pemimpin Umno masih menggunapakai strategi “cash is king” seperti mana yang lalu-lalu walaupun pendekatan itu telah ditolak pada PRU-14, termasuk PRN-16 dan PRU-15.

Apa pun pendirian Kerajaan Negeri berkaitan JKDM itu tidak akan diterima oleh pemimpin Umno kerana jelas ianya merupakan penyambung nyawa parti itu di Sabah.

Walaupun pengwujudan JKDM bertentangan dengan polisi kerajaan negeri, akan tetapi diteruskan juga malah menurut pemimpin Umno menentang pengwujudannya mencerminkan penentangan pada polisi Kerajaan Madani Persekutuan.

Jelas, pemimpin Umno tiada niat menyatu padukan rakyat melainkan mencuba bagai mana rakyat terus berpecah kerana menerusi perpecahan sahaja parti itu dapat manafaat.

Politik Sabah dihantui perpecahan berdekad-dekad, tidak seperti negeri jiran Sarawak. Sementara di Sarawak sejak merdeka tidak pernah berganti kerajaan, manakala di Sabah telah 6 kali, selain itu mencipta rekod, negeri yang mempunyai teramai Ketua Menteri.

Kerapnya pertukaran kerajaan kesan campur tangan pemimpin luar yang mendapat sokongan pemimpin Sabah sendiri, seperti mana yang sedang dilakukan pemimpin Umno Sabah kumpulan Datuk Bung Moktar Radin. Pemimpin Umno secara umum tiada pilihan terutama presiden parti itu, kerana untuk kekal relevan perlu menggunakan Sabah sebagai talian hayat politik, kerana berpandukan pada keadaan di Semenanjung, menunjukkan parti itu menuju parti matahari terbenam.

Umno Semenanjung semacam di penghujung jalan seperti mana keputusan PRU-15 dan PRN2023 di 6 negeri. Pada pilihan raya itu sangat jelas Umno ditolak kaum melayu di negeri-negeri “the heartland of malays”.

Sungguh malang, Umno yang berasaskan kaum melayu, ditolak kaum yang diwakili, akan tetapi ada rakyat Sabah bermati-matian menyokong malah cuba mempengaruhi rakyat Sabah menyokong.

Rakyat Sabah digula-gulakan dengan umpan “cash is king” kerana termakan hujah pemimpin parti itu kononnya pemimpin parti itu dapat memajukan dan membangun negeri dan rakyat jika parti itu diberi mandat semula menerajui kerajaan negeri.
Hujah pemimpin parti itu, kegagalan parti itu semasa menjadi teraju kerajaan berdekad-dekad di Sabah, atas sebab bukan Bung Moktar Radin yang lead, bukan mereka yang sekem dengan beliau yang memimpin.

Rakyat Sabah perlu berfikir rasional, alterantif kepimpinan apa yang boleh diberikan Datuk Bung Moktar Radin dan kelompoknya? Tepuk dada tanya selera.

Apabila menyedari taraf kepimpinan Umno negeri, maka rakyat perlu berfikir jauh dan ke hadapan, bahawa rakyat dan negeri akan bertambah mundur dan ketinggalan mengulangi keadaan yang di warisi, dan pada masa ini rakyat sedang menghadapinya. Kemudahan asas yang masih daif, prasarana yang terbelakang, insiden kemiskinan dan pengangguran tinggi yang perlu ditangani kerajaan Sabah hari ini.

Rakyat Sabah bernasib baik kerana terbentuknya kerajaan yang diterajui GRS, dan kini GRS-PH Plus dan telah melancarkan strategi pembangunan dan kemajuan, SABAH MAJU JAYA.

Menerusi Sabah Maju Jaya, tidak sedikit pencapaian yang telah dilakar, termasuklah peningkatan kutipan hasil negeri yang mendekati RM7bilion, satu rekod yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana kerajaan sebelum ini.

Apabila kutipan hasil negeri terus meningkat, maka membawa erti, kerajaan dapat menambah dana untuk pembangunan dan kemajuan rakyat. Apa yang pasti, kerajaan negeri berada pada landasan tepat dan betul, untuk menjadikan rakyat dan negeri makmur dan sejahtera. Untuk merealisasikannya, rakyat kena berdiri teguh di belakang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mempunyai 8 parti komponen yang mewakili semua rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang dan agama.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .