Home » Sabah akan kuatkan hubungan dengan China
Berita Tempatan Politik

Sabah akan kuatkan hubungan dengan China

RASMI: Juhar (tengah) menyempurnakan acara memotong kek, sambil disaksikan Hajiji (lima kiri), Dr Huang (empat kiri) serta tetamu kehormat yang lain.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berharap hubungan diplomatik yang sedia terjalin diantara Sabah dan China akan dikekalkan serta dikuatkan lagi untuk masa depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Malaysia mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan China selama 50 tahun dan ini membuktikan eratnya kerjasama serta persahabatan diantara kedua-dua negara ini.

“Sabah sangat berbangga kerana menjadi sebahagian dalam hubungan itu,” katanya pada majlis meraikan Ulang Tahun ke-50 hubungan Malaysia dan China di sini, kelmarin.

Majlis berkenaan dirasmikan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M. Jasni.

Pada 2023, Hajiji berkata, Sabah dan China telah melahirkan banyak pencapaian dalam pelbagai sektor menerusi kerjasama yang terjalin.

“Sabah telah mengadakan kerjasama dengan beberapa wilayah dan bandar di China dan ia telah membawa hasil yang baik, Sabah juga akan terus menjadi destinasi pilihan untuk pelancong China.

“Rekod kedatangan pelancong ke Sabah dari Januari sehingga Mac tahun ini adalah 776,845. Sejumlah 321,184 adalah pelancong antarabangsa dan sejumlah 116,922 daripada angka berkenaan adalah pelancong dari China.

“Ini adalah petanda yang baik dan kita sangat gembira serta mengalu-alukan pelancong China khususnya yang ingin mencari peluang pelaburan dengan Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, sejak beberapa tahun lepas, Malaysia dan China berjaya mencapai program yang memberangsangkan dari segi pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Katanya, perkara itu dikukuhkan lagi dengan pertemuan diantara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China Xi Jinping.

“Kedua-dua pemimpin ini telah memberikan jaminan bersama untuk membina hubungan yang lebih erat bagi pembangunan masa depan.

“Ini bukan sahaja akan memberikan manfaat lebih baik tetapi hubungan Sabah dengan China juga sekali gus menjadi lebih kukuh dan berpotensi untuk melakukan kerjasama yang lebih banyak di masa depan,” katanya.

Hajiji turut memuji Konsul Jeneral China di sini, Dr Huang Shi Fang, Mantan Konsul sebelumnya dan juga ramai organisasi serta individu di Sabah yang memainkan peranan penting bagi memastikan hubungan diantara Malaysia dan China terus makmur.

“Masih banyak ruang yang boleh diperkasakan dalam usaha mengukuhkan dan selarikan strategi pembangunan dengan China, dengan merealisasikan modenisasi China dengan Malaysia Madani serta Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment