Home » ‘Kurang kepakaran tempatan’ – sebab kontraktor elektrik Semenanjung diambil untuk loji tenaga solar di Sabah: ECoS
Berita Tempatan Politik

‘Kurang kepakaran tempatan’ – sebab kontraktor elektrik Semenanjung diambil untuk loji tenaga solar di Sabah: ECoS

Abdul Nasser (kiri) menjawab soalan Yong (kanan), yang mempersoal badan pengawal selia tenaga itu berhubung pelantikan kontraktor bukan Sabah dalam proses bidaan loji janakuasa fotovoltaik (PV) solar berskala besar ECoS yang sulung, dinamakan LSS-SABAH2024.

KOTA KINABALU: Kontraktor elektrik yang berpangkalan di Semenanjung diambil untuk loji tenaga solar di Negeri ini kerana kekurangan kontraktor tempatan, kata Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid berkata terdapat kekurangan kontraktor tempatan, sehingga memerlukan pembukaan pendaftaran kepada kontraktor bukan Sabah.

“Ini disebabkan kekurangan program solar di Sabah sejak beberapa tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Beliau menambah bahawa pelantikan kontraktor bukan Sabah buat masa ini adalah penting untuk kejayaan pelaksanaan program solar di Sabah bagi menangani kekurangan penjanaan kritikal.

Abdul Nasser menjawab soalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee, yang mempersoal badan pengawal selia tenaga itu berhubung pelantikan kontraktor bukan Sabah dalam proses bidaan loji janakuasa fotovoltaik (PV) solar berskala besar ECoS yang sulung, dinamakan LSS-SABAH2024.

Bekas Ketua Menteri itu berkata tujuh kontraktor itu mempunyai perniagaan dan alamat berdaftar di Semenanjung Malaysia.Abdul Nasser menegaskan pembangunan kepakaran tempatan dalam sektor tenaga bagi Negeri tetap menjadi keutamaan Ecos.

“Kami menghargai kebimbangan yang dibangkitkan dan kami bersetuju mengenai kepentingan penyertaan tempatan, justeru pra-syarat LSS-SABAH 2024 menekankan bahawa pembida yang berminat mestilah syarikat yang berpangkalan di Sabah atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah; atau konsortium syarikat,” katanya.

Abdul Nasser menjelaskan pemilikan ekuiti syarikat berpangkalan di Sabah atau Sabah GLC dalam konsortium itu mesti memenuhi keperluan minimum yang dinyatakan dalam dokumen tawaran.Selain itu, tambahnya, pembida yang mempunyai lebih banyak kandungan tempatan akan diberikan mata merit.

Sebelum ini, ECoS berkata keutamaan akan diberikan kepada syarikat atau konsortium milik Sabah yang layak yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) atau Pusat Pendaftaran Kontraktor Sabah (Pukonsa), dengan syarat mereka atau rakan kongsi mereka memenuhi syarat kelas berkaitan , head dan subhead.

Abdul Nasser berkata, sementara itu, terdapat inisiatif berterusan untuk meningkatkan pakar tempatan dengan mewujudkan program latihan solar yang diperlukan di Sabah oleh penyedia latihan bertauliah ECoS.

“Dengan berbuat demikian, selain menghidupkan semula program solar di Sabah, kita boleh meningkatkan bilangan kontraktor elektrik tempatan dengan kelas PV (bersambung grid) di Sabah, dan pada masa yang sama, menyediakan peluang pekerjaan kepada orang tempatan yang kompeten,” katanya.