Home » Jemaah haji diminta jaga nama baik negara
Berita Tempatan Politik

Jemaah haji diminta jaga nama baik negara

JEMAAH: Nizam bersama isteri Datin Wahida Mardiana Norsalim (kanan) ketika menyantuni jemaah haji di Tawau.

TAWAU: Jemaah haji yang terpilih di negeri ini diminta supaya dapat menjaga nama baik ketika menunaikan Rukun Islam kelima itu dan mengelak terbabit melakukan masalah yang tidak diingini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sejak dari dahulu, negara kita menjadi contoh jemaah seluruh dunia dengan perilaku yang baik ketika menunaikan ibadah haji.

Katanya, Kerajaan Arab Saudi juga turut mengiktiraf bahawa Tabung Haji (TH) telah mengurus jemaah Malaysia pada tahap yang terbaik berbanding dengan negara-negara lain.

“Justeru, saya mengharapkan semua jemaah haji di negeri ini dapat mengekalkan disiplin itu supaya nama Malaysia terus dipandang tinggi Kerajaan Arab Saudi dan negara-negara lain.

“Kita mahukan setiap tahun pengurusan jemaah haji negara yang dikelola oleh Tabung Haji terus dipermudahkan oleh Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika menyantuni jemaah haji daerah Tawau, di sini, semalam.

Nizam turut menasihati jemaah supaya mengikuti segala panduan dan tunjuk ajar daripada petugas haji yang berada di Arab Saudi.

“Kita mahukan semua jemaah di negeri ini mengamalkan ilmu yang telah dipelajari semasa mengikuti kursus-kursus haji sebelum ini.

“Saya juga berharap supaya semua jemaah dipermudahkan semasa melaksanakan rukun ibadah haji dan memperoleh haji mabrur,” katanya.

Beliau juga menzahirkan tahniah kepada Tabung Haji daerah Tawau kerana telah mengurus jemaah dengan baik dan lancar tanpa sebarang masalah.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Tabung Haji Tawau, Ajmal Junaidi berkata, seramai 225 orang jemaah dari Tawau telah terpilih menunaikan haji pada tahun ini.

Katanya, Tabung Haji Tawau telah mendapat kuota yang sama dengan tahun lepas dan semua pengurusan berjalan lancar.

“Secara keseluruhan kuota yang diuruskan berjalan dengan baik kerana jemaah yang berhalangan akan menunda dan tempat kosong diisi dengan jemaah lain.

“Semua jemaah dari Tawau akan berkumpul di Kota Kinabalu dan berlepas ke Jeddah Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.

Hamzah Sanudin