Home » Hanya JKKK badan pengurusan kampung diiktiraf Kerajaan Negeri-Hassan
Berita Tempatan Politik

Hanya JKKK badan pengurusan kampung diiktiraf Kerajaan Negeri-Hassan

Menurut Hassan, Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Negeri Sabah memberi sumber kuasa kepada Pegawai Daerah, atau pihak berkuasa tempatan untuk menubuhkan jawatankuasa di peringkat daerah dari segi pelantikan, penamatan, kawalan disiplin, mengadakan mesyuarat, menyediakan minit mesyuarat badan JKKK, dan pembayaran elaun.

TAWAU: Rakyat di peringkat akar umbi khususnya di kampung-kampung diingatkan agar tidak terkeliru dengan isu pelantikan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir berkata, ini kerana kini hanya ada satu sahaja badan pengurusan kampung yang diiktiraf oleh Kerajaan Negeri iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Beliau berkata, hanya JKKK yang diiktiraf dan dilantik oleh Kerajaan Negeri menerusi Ordinan Pentadbiran Luar Bandar yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Katanya, ordinan yang berkaitan JKKK selain untuk memantapkan institusi badan pentadbiran JKKK, ia juga satu sumber kuasa dalam melaksanakan tugas-tugas di kampung masing-masing.

Menurut Hassan, Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Negeri Sabah memberi sumber kuasa kepada Pegawai Daerah, atau pihak berkuasa tempatan untuk menubuhkan jawatankuasa di peringkat daerah dari segi pelantikan, penamatan, kawalan disiplin, mengadakan mesyuarat, menyediakan minit mesyuarat badan JKKK, dan pembayaran elaun.

“Sementara JKDM pula, apa punca kuasa yang digunakan? Pelantikannya hanya dibuat oleh sebuah kementerian persekutuan. Sedangkan kita sudah ada JKKK yang diiktiraf dan dilantik oleh Kerajaan Negeri.

“Justeru cadangan pelantikan JKDM lebih kepada bermotifkan survival politik sebuah parti nasional yang semakin hilang pengaruhnya di Sabah”, katanya.

Beliau yang juga Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sebatik berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Cawangan Gagasan Rakyat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Serudung Laut di sini.

Hassan berkata, ahli-ahli Gagasan Rakyat bahagian Sebatik khususnya Ketua-Ketua Cawangan perlu memainkan peranan untuk mengangkat suara dan masalah rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, ini penting agar pemimpin di peringkat bahagian dan negeri dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat termasuk memenuhi keperluan mereka.

Menurutnya, Ketua-Ketua Cawangan Gagasan Rakyat dan ahli-ahlinya perlu sentiasa santuni rakyat dan membantu mereka yang memerlukan, selain JKKK dan Ketua Kampung.

Katanya, Gagasan Rakyat selaku sebuah parti tunjang kepada Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mendengar keluh kesah dan rintihan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

“Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Ketua Menteri komited membawa Sabah terus maju ke hadapan menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ)”, tegasnya.

TAMAT