Home » Inisiatif tingkat jidar simpanan penjanaan dan menangani kekurangan kuasaelektrik diluluskan
Berita Tempatan Politik

Inisiatif tingkat jidar simpanan penjanaan dan menangani kekurangan kuasaelektrik diluluskan

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mempengerusikan mesyuarat MTS yang pertama hari ini.

KOTA KINABALU: Majlis Tenaga Sabah (MTS) telah meluluskan pelbagai inisiatif termasuk meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui baharu yang akan membantu mencapai dan mengekalkan jidar simpanan penjanaan sebanyak 30 peratus serta mengatasi masalah kekurangan kuasa elektrik di negeri ini.


Dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, MTS dalam mesyuarat pertamanya hari ini bersetuju menjalankan kajian kebolehlaksanaan sumber tenaga boleh baharu untuk Sabah seperti angin, geoterma dan projek janakuasa low head hydro summersible untuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu.


Cadangan-cadangan lain daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) termasuk pelanjutan operasi loji janakuasa sedia ada yang berdaya harap, pembelian tenaga daripada loji janakuasa biomass, memastikan penyiapan projek Solar Berskala Besar (LSS), memperolehi kapasiti dari Sarawak, melaksanakan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), tambahan loji janakuasa gas asli sebagai bahan api peralihan dan pengaktifan semula loji janakuasa Geoterma.


Penyiapan Pelan Pembangunan Hidroelektrik Sabah yang menjelang akhir tahun ini dijangka akan dapat menyokong inisiatif-inisiatif penjanaan kuasa di negeri ini.


Untuk jangka masa panjang, Kerajaan Negeri akan menerokai teknologi baharu seperti Reaktor Modular Kecil (SMRs) dengan kerjasama kerajaan persekutuan dan Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC) berikutan kelulusan Enakmen OTEC 2024 oleh Dewan Undangan Negeri Sabah.


Ketua Menteri dalam ucapan alu-aluannya menekankan Kerajaan Negeri komited untuk masa depan tenaga yang mampan di Sabah melalui Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dilancarkan pada 19 Sept tahun lalu.


“SE-RAMP 2040 menggariskan pelbagai strategi dan inisiatif untuk mengimbangi keperluan tenaga dan memastikan keselamatan tenaga, mampu milik, dan kelestarian alam sekitar,” katanya sambil menambah mesyuarat MTS tertumpu kepada menangani cabaran tenaga semasa di Sabah, termasuk kekurangan kapasiti dan kestabilan grid serta perancangan untuk memenuhi keperluan permintaan elektrik jangka masa sederhana dan panjang.


–Tamat