Home » Bekas ADUN Kawang, Mantan TKM meninggal dunia
Berita Tempatan Politik

Bekas ADUN Kawang, Mantan TKM meninggal dunia

Allahyarhamah Datuk Ariah Tengku Ahmad pernah mengetuai Pasukan Olahraga Jesselton, dinobatkan sebagai Miss Jesselton 1956, seorang juruhebah radio, wartawan, ADUN Kawang, Menteri Perkhidmatan Sosial dan Timbalan Ketua Menteri, antara lain.

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang dan mantan Timbalan Ketua Menteri (TKM) wanita pertama Sabah, Datuk Ariah Tengku Ahmad,telah menghembuskan nafasnya pada usia 86 tahun.

Anaknya, Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad memaklumkan ibunya meninggal dunia dengan tenang di kediamannya pada 16 Jun, hari ini.

“Dengan penuh rasa dukacita saya mengumumkan pemergian ibu tercinta, Datuk Ariah Tengku Ahmad, yang meninggal dunia dengan tenang di kediamannya hari ini (Ahad), 16 Jun 2024,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

“Ariah, yang dikenali oleh kawan rapatnya sebagai Irene Pritchard, adalah isteri kepada Allahyarham Brig. Jen. Tunku Ahmad Tunku Besar Burhanuddin, ibu kepada Fuad, ibu mentua kepada Shirley dan nenek kepada Adam, Alexander dan Anthony,” katanya.

Fuad menyifatkan kehidupan ibunya yang cemerlang dan sangat berjasa.

Allahyarhamah pernah mengetuai Pasukan Olahraga Jesselton, dinobatkan sebagai Miss Jesselton 1956, seorang juruhebah radio, wartawan, ADUN Kawang, Menteri Perkhidmatan Sosial dan Timbalan Ketua Menteri, antara lain.

“Tetapi yang paling utama, dia merupakan ibu dan nenek yang hebat, amat disayangi oleh kami.

“Kami sekeluarga sangat merinduinya,” katanya.

— TAMAT