Home » Penghuni PPR diminta tidak sewa atau menjual tanpa kebenaran
Berita Tempatan Politik

Penghuni PPR diminta tidak sewa atau menjual tanpa kebenaran

GIMIK: Nizam (dua kanan) menanam pokok sebagai gimik perasmian majlis berkenaan.

TAWAU: Penduduk yang mendapat kemudahan Program Perumahan Rakyat (PPR) diminta supaya tidak menyewakan atau menjual rumah berkenaan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penempatan PPR yang disediakan kerajaan adalah kemudahan yang perlu disyukuri dan dijaga dengan sebaiknya.

Katanya, PPR merupakan inisiatif kerajaan membantu rakyat menyediakan tempat tinggal yang selesa dengan kadar sewa yang paling rendah dan mampu milik.

“Kita tidak mahu rakyat yang sudah berjaya mendapatkan rumah ini mengambil kesempatan dengan memberi sewa atau menjualnya dengan orang lain terutamanya warga asing.

“Sekiranya sudah mampu membeli rumah lain dan tidak lagi tinggal di PPR, mereka perlu mengembalikan kepada PBT supaya dapat diberikan kepada pemohon lain yang sangat memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan program Libat Urus Komuniti, Karnival Tawau Aktif 6.0 di PPR Taman Sri Apas, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Mohd Shoffian Mohd Said.

 Nizam dan Lo ketika membuat perasmian pembukaan Gelanggang Futsal PPR Taman Sri Balung.
RASMI: Nizam dan Lo ketika membuat perasmian pembukaan Gelanggang Futsal PPR Taman Sri Apas.

Menurutnya, penduduk di PPR Taman Sri Apas dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti peraturan dan perjanjian yang dipersetujui dengan kerajaan khasnya MPT.

“Saya mahukan penduduk di sini tinggal dengan aman dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

“Penduduk di sini juga diingatkan supaya tidak menjadi vandalisme, sebaliknya menjaga dengan sebaiknya kemudahan yang diberikan,” katanya.

Mengulas mengenai majlis itu, Nizam mengucapkan syabas dan tahniah kepada MPT sebagai penganjur utama bersama agensi lain kerana menjayakan program ini.

“Saya difahamkan program ini sudah diadakan sejak enam tahun dan pendekatan ini cukup baik kerana agensi kerajaan turun padang berjumpa dengan penduduk untuk menyelesaikan masalah berkaitan.

“Program ini perlu diteruskan pada masa akan datang dan mendapat sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam dan Lo turut merasmikan pembukaan Gelanggang Futsal PPR Taman Sri Apas yang baharu siap.

— Hamzah S