Home » Kerajaan komited perkasa sektor keusahawanan di Sabah: Hajiji
Berita Tempatan Politik

Kerajaan komited perkasa sektor keusahawanan di Sabah: Hajiji

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

PUTATAN: Kerajaan negeri komited untuk terus menyokong dan memperkasa sektor keusahawanan melalui pelbagai inisiatif dan program pembangunan usahawan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ini termasuk pemberian geran, latihan, bimbingan, serta akses kepada pasaran dan pembiayaan.

“Sebab itu dalam Belanjawan Sabah 2024, peruntukan turut disediakan untuk mengurus dan memperkasa kesejahteraan wanita melalui pelbagai program pembangunan modal insan, iaitu sebanyak RM6.27 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).

“Kerajaan juga berusaha untuk memastikan usahawan termasuk wanita mendapat peluang dan faedah yang sama rata. 

“Oleh yang sedemikian, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah turut menggalakkan kegiatan usahawan luar bandar untuk mengusahakan produk tempatan seperti pembuatan gong, gubahan bunga, manik dan produk makanan berasaskan bahan tempatan.

“Bagi tujuan ini sebanyak RM2.41 juta diperuntukkan di bawah Program Satu Daerah Satu Produk, Pembangunan Usahawan Desa dan Program Industri Desa. 

“Saya berharap usahawan-usahawan di luar bandar tidak melepaskan peluang ini untuk meningkatkan sumber ekonomi masing-masing,” katanya sempena Majlis Perasmian dan Penutupan Karnival Usahawan Madani Peringkat Daerah Putatan di sini pada Ahad.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu usahawan di negeri ini, termasuk dalam menyediakan tempat untuk memasarkan produk mereka.

“Justeru, kerajaan negeri telah mewujudkan beberapa Pusat Produk IKS atau IKS Mart di negeri ini antaranya di Beaufort, Tuaran, Kota Marudu dan Ranau serta di Oceanus Mall Kota Kinabalu. 

“Inisiatif ini untuk membantu membangunkan sektor IKS dengan menyediakan ruang kepada usahawan-usahawan tempatan untuk mengumpul, mempromosi dan menjual keluaran usahawan tempatan dari seluruh daerah.

“Susulan kejayaan IKS Mart yang sedia ada, kita akan mewujudkan empat lagi IKS Mart iaitu di Sandakan, Keningau, Kalabakan dan Luyang,” katanya.

Hajiji juga berharap segala program yang disediakan kerajaan ini akan sampai kepada semua usahawan sekali gus dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Mengenai Karnival itu, beliau berharap ia akan digunakan sepenuhnya oleh usahawan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka serta membuka ruang untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.

“Dalam era globalisasi dan digitalisasi kini, kita harus memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk memajukan perniagaan serta meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan agar setanding dengan piawaian antarabangsa.

“Dalam masa sama, Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (USAHANITA) cawangan Sabah telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan generasi pemimpin wanita yang memacu ekonomi kita ke hadapan,” katanya.

TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment