Home » PCS tekad perkukuh GRS
Berita Tempatan Politik

PCS tekad perkukuh GRS

SIDANG: Pang mewakili Anifah menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan Agung Empat-Tahunan PCS yang diadakan di ITCC Penampang.

PENAMPANG: Parti Cinta Sabah (PCS) berhasrat untuk memperkukuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) susulan penerimaan kemasukannya ke dalam gabungan itu pada 22 Mei lepas.


Dalam ucapan perasmiannya sempena Persidangan Agung Empat-Tahunan PCS di ITCC Penampang, Presiden PCS Senator Tan Sri Anifah Aman mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang Pengerusi GRS kerana menerima PCS ke dalam GRS.


Dalam ucapan dasar, Anifah mengakui terdapat keraguan awal dan cabaran daripada pihak luar tetapi menegaskan komitmen PCS terhadap kestabilan politik Sabah dan hak rakyat Sabah.


“Walaupun terdapat laporan media sinis dan kebimbangan luar terhadap kemasukan kami ke dalam GRS, tetapi apa yang kita tawarkan kepada GRS adalah politik kestabilan yang diterajui oleh parti-parti tempatan,” katanya.


Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Presiden 1, Datuk Pang Yuk Ming.


Dalam pada itu, Anifah menekankan bahawa kerjasama antara parti komponen GRS akan meningkatkan suara kolektif dan kredibiliti semua parti komponen GRS termasuk PCS dalam membawa aspirasi dan perjuangan hak Sabah kepada Kerajaan Persekutuan.


Mengimbau perjalanan PCS sejak beliau memimpin parti itu dari tahun 2020, Anifah menyatakan semangat juang parti itu masih utuh walaupun tidak memenangi Pilihan Raya Negeri dan beberapa pemimpin telahpun meninggalkan parti.


Beliau menekankan komitmen tidak berbelah bahagi PCS untuk berkhidmat kepada rakyat dan memperjuangkan hak Sabah, khususnya pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Anifah juga menekankan kepentingan kemajuan ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan infrastruktur, bahawa matlamat itu hanya dapat dicapai sekiranya hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dipenuhi.


Beliau mengulangi kewajipan Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil Persekutuan yang dikutip di negeri ini, yang akan meningkatkan projek pembangunan tempatan dengan pesat.


Tambahan itu, Anifah turut memuji inisiatif kerajaan baru-baru ini yang sejajar dengan manifesto PCS sebelum ini, seperti usaha untuk menghalang lompat parti dalam kalangan wakil rakyat.


Beliau juga memuji kerjasama Kerajaan Negeri dengan Petronas untuk melibatkan syarikat milik negeri dalam penerokaan minyak dan usaha berterusan untuk menambah kerusi parlimen Sabah.


Dalam perkembangan sama, Anifah yang juga Pengerusi Invest Sabah Berhad turut menyebut tentang rancangan untuk membawa universiti asing ke Sabah, menyediakan peluang pendidikan berkualiti untuk belia tempatan dan memastikan biasiswa untuk pelajar-pelajar Sabah yang layak.


Beliau memuji program kerajaan untuk melatih dan menggaji belia miskin tegar sebagai usaha serampang dua mata untuk membasmi kemiskinan dan mencipta peluang pekerjaan.


Sebagai persediaan PCS untuk Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada tahun 2025, Anifah menyeru semua ahli parti untuk memperkukuhkan jentera mereka dan menyokong GRS.


Beliau menggesa perwakilan untuk memilih pemimpin yang berpengalaman dan komited semasa persidangan itu bagi mengekalkan pengaruh parti dalam landskap politik Sabah.


“Kita mesti menegakkan prinsip ‘Sabah First’ untuk memastikan parti tempatan mentadbir Sabah demi manfaat generasi akan datang,” katanya.

— Kenneddy Corlleus