Home » SME Bank, FHNW kerjasama laksana cabaran SSSIC 2024
Berita Am Berita Tempatan

SME Bank, FHNW kerjasama laksana cabaran SSSIC 2024

KOTA KINABALU: ‘Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad’ (SME Bank) bekerjasama dengan ‘School of Business’ dari ‘University of Applied Sciences and Arts Northwestern’ Switzerland (FHNW) untuk SME Bank ‘Sandbox Swiss Innovation Challenge’ (SSSIC) 2024.

Cabaran ini terbuka untuk syarikat pemula, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan pelajar institusi pengajian tinggi dalam mengemukakan idea perniagaan inovatif yang memberi impak besar kepada alam sekitar, sosial dan ekonomi.

Peserta berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM110,000 dan mewakili Malaysia di ‘Swiss Innovation Challenge 2024 International Pitch’ pada Oktober 2024.

Disokong oleh institusi seperti ‘Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd.’ (CEDAR), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Putra Business School, dan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia, SSSIC 2024 akan menawarkan pengetahuan praktikal dan peningkatan kemahiran melalui jurulatih dan usahawan yang berpengalaman.

Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Dr. Aria Putera Ismail berkata, pihaknya memberi galakan kepada usahawan dan PMKS untuk sentiasa maju ke hadapan.

Katanya, SME Bank SSSIC menyediakan platform untuk mempromosikan inovasi dalam kalangan PMKS dan membolehkan usahawan dan inovator menunjukkan kreativiti mereka serta memberi penyelesaian inovatif yang lestari kepada cabaran ketika ini.

Pada masa sama jelasnya, ia mencipta peluang untuk jalinan antarabangsa dan potensi pembiayaan.

“Kerjasama kami dengan FHNW direka untuk memupuk syarikat pemula dan penubuhan baharu agar lebih cemerlang dalam sektor PMKS.

“Ia melalui usaha memperkasa alat dan pengetahuan untuk memacu pembangunan yang lestari, memberi impak penting kepada komuniti dan membina jalinan kerjasama antarabangsa yang bakal menjadi aset berharga semasa mereka menavigasi landskap perniagaan yang dinamik.

“Ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk mengembangkan syarikat tempatan ke semua peringkat melalui ekosistem inovasi seperti yang disokong oleh kerangka Ekonomi MADANI,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, SSSIC 2024 bertujuan menyokong inovasi syarikat pemula dan PMKS serta meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penerapan Alam Sekitar, Sosial, and Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan PMKS.

Menurutnya, peserta ditawarkan dengan peluang untuk membentangkan idea perniagaan baharu, inovasi produk, inovasi perkhidmatan, inovasi organisasi, inovasi pengurusan, atau inovasi model perniagaan, yang menerajui konsep perniagaan.

Katanya, ia sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).

Sementara itu, Ketua Institut Pengurusan di FHNW University of Applied Sciences yang juga Presiden Juri SIC Prof. Dr. Arie Hans Verkuil berkata,  SIC sudah lama disokong oleh kerajaan Switzerland untuk mencari idea perniagaan inovatif dari syarikat pemula dan PMKS.

“Untuk pengetahuan semua, terdapat minat global yang semakin meningkat dalam inisiatif unik ini di luar rantau Eropah.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan SME Bank di Malaysia yang juga tunjang utama pertumbuhan holistik PMKS melangkaui perkhidmatan kewangan, terutamanya dalam pelaksanaan ESG.

“Bersama rakan universiti tempatan kami, kerjasama ini akan membuka jalan untuk lebih memahami persekitaran syarikat pemula atau perniagaan baharu dan seterusnya mendorong perubahan positif dan memupuk budaya inovasi dan kelestarian dalam komuniti PMKS,” jelasnya.

SSSIC 2024 kini menerima penyertaan dari 24 Jun hingga 26 Julai 2024. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pertandingan ini dan cara untuk menyertai, sila layari www.smebank.com.my/sssic2024.

-utusanborneo

About the author

Editor SBN

Add Comment

Click here to post a comment