Home » Produk pelancongan baharu di Sabah akan diperbanyakkan: Hajiji
Berita Tempatan Politik

Produk pelancongan baharu di Sabah akan diperbanyakkan: Hajiji

PECAH TANAH: Hajiji ketika menyempurnakan gimik perasmian sempena Majlis Pecah Tanah Tawau International Cultural Centre (TICC), di tapak pembinaan TICC, Sabindo, di Tawau.

TAWAU: Kerajaan negeri kini sedang merangka pelbagai projek pelancongan dalam pelbagai aspek di seluruh Sabah, antara usaha mencipta lebih banyak lagi produk pelancongan baharu di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata usaha ini diambil bagi memperbanyakkan lagi produk pelancongan yang boleh diketengahkan kepada pengunjung termasuk berkaitan kebudayaan.

“Seperti di Tawau, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek pelancongan seperti yang dicadangkan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah untuk membangunkan lagi sektor pelancongan di daerah ini.

“Antaranya, membina sebuah resort baharu di Tawau Hills Park yang merangkumi chalet, laluan pejalan kaki, kolam air panas dan menempatkan Pusat Penyelidikan Tenggiling,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah juga akan menaik taraf kemudahan seperti Jeti Tawau yang membawa pelancong dari Tawau ke Semporna.

“Tawau yang juga pintu masuk pengunjung ke Taman Laut Tun Sakaran di Semporna, telah merekodkan seramai 25,684 pelawat dari dalam dan luar negara dalam tempoh Januari hingga April lalu.

“Terdapat 115 kekerapan penerbangan mingguan dengan 20,200 kapasiti tempat duduk menghubungkan Tawau ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Sandakan ketika ini.

“Sehingga 15 Jun tahun ini juga, terdapat 32 penerbangan sewa khas dari Nanjing dan Guangzhou, China ke Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Tawau International Cultural Centre (TICC) di tapak pembinaan TICC, Sabindo, di sini hari ini.

Mengenai majlis itu, Hajiji berkata pembinaan TICC sebagai mercu tanda baharu di Tawau, pasti akan menjadi tarikan pelancong ke daerah itu.

“Oleh itu, pembinaan TICC itu tepat pada masanya dan sudah pasti apabila siap kelak, ia akan menjadi tempat penganjuran pelbagai acara kebudayaan termasuk Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT).

“Sudah pasti dengan adanya tarikan-tarikan pelancongan baharu ini, ia akan membantu kita mencapai sasaran 3 juta pelancong ke Sabah pada tahun ini,” katanya.

— TAMAT