Home » Warga SMK Titingan Tawau diminta terus tingkatkan prestasi
Berita Tempatan Politik

Warga SMK Titingan Tawau diminta terus tingkatkan prestasi

ALBUM: Nizam bergambar bersama pentadbir, guru dan pelajar cemerlang SMK Titingan.

TAWAU: Warga Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Titingan, di sini sentiasa diberi cabaran bagi meningkatkan prestasi supaya menjadi sekolah terbaik di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, SMK Titingan dilihat boleh menjadi antara terbaik di negeri ini berdasarkan prestasinya yang semakin meningkat setiap tahun.

Katanya, kejayaan sesebuah sekolah tidak hanya terletak di bahu guru-guru dan pentadbir sekolah sahaja, tetapi ia memerlukan usaha serta kerjasama semua pihak termasuklah ibu bapa.

“SMK Titingan adalah satu-satunya sekolah menengah yang terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas dan saya sangat rapat dengan warga sekolah ini sama ada guru-guru, ibu bapa serta pelajar.

“Sudah menjadi tanggungjawab saya memastikan sekolah ini menjadi antara yang terbaik di negeri ini dan sebab itu juga cabaran selalu dilontarkan kepada semua warga SMK Titingan,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (MAPEC) SMK Titingan bagi tahun 2023, di sini semalam.

Menurutnya, keputusan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) 2023 membuktikan bahawa sekolah ini mampu mencapai kejayaan pada masa akan datang.

“Walaupun Gred Purata Sekolah (GPS) sekolah menurun sedikit, tetapi peratusan lulus dalam SPM menunjukkan peningkatan iaitu 99.36 peratus.

“Saya mengharapkan keputusan itu menjadi suntikan semangat buat warga sekolah, pelajar dan ibu bapa supaya berusaha lebih keras bagi mencapai kejayaan yang cemerlang,” katanya.

ANUGERAH: Nizam menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang SPM 2023.

Selain itu, Nizam juga selalu menghargai jasa guru dan pentadbir sekolah di daerah ini yang bekerja keras dalam memastikan kemenjadian pelajar setiap tahun.

“Setiap tahun saya akan menyokong semua kegiatan yang dianjurkan oleh warga pendidikan termasuklah Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPENS) dan Anugerah Gemilang Inspirasi Kurikulum (Anggerik).

“Banyak insentif diberikan kepada warga pendidik yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam mendidik pelajar di daerah ini,” katanya.

Terdahulu, Nizam menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk kegunaan dan aktiviti di SMK Titingan tahun ini.

— Hamzah S

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment