Home » Kerajaan teruskan program pelepasan benih dengan peruntukan RM400,000
Berita Tempatan Politik

Kerajaan teruskan program pelepasan benih dengan peruntukan RM400,000

Jeffrey ketika menyaksikan anak ikan siakap dilepaskan.

KOTA KINABALU: Kerajaan meneruskan  program pelepasan benih hasil laut sebagai usaha pemuliharaan sumber perikanan pantai dengan peruntukan RM400,000 pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, bagi memulakan program itu, perairan Bandaraya Kota Kinabalu menjadi lokasi pertama pelepasan 10,000 ekor benih Siakap (Baramundi).

“Selain itu, 11 daerah pesisir pantai telah dipilih bagi program itu melibatkan pelepasan benih ikan Siakap (30,000 ekor), Timun Laut (10,000 ekor), Siput Sudu (2,000 kilogram) dan sejuta ekor Udang Harimau.

“Program pelepasan benih diharapkan dapat terus melestarikan sumber perikanan perairan pantai dan sungai di Sabah di samping dapat meningkatkan biomass dan biodiversiti perikanan melalui pengkayaan sumber serta pemuliharaan ekosistem.

“Pada tahun 2024 disasarkan 50,000 ekor ikan air tawar pelbagai spesies akan dilepaskan di perairan sungai yang telah dikenalpasti seluruh Sabah,” katanya semasa Program Pelepasan Benih Ikan Siakap 2024, pada Sabtu.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, Jabatan Perikanan Sabah di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), program Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) melalui salah satu programnya memberi tumpuan kepada pemuliharaan sumber perikanan pantai.

“Program ini untuk meningkatkan stok ikan bagi menjamin bekalan protein dari sumber ikan sentiasa mencukupi kepada rakyat selain memastikan industri perikanan terus memberi sumbangan signifikan kepada Keluaran Dalam Negeri (KDN).

“Ini turut memberi impak dan manfaat kepada nelayan dan golongan sasar yang terdiri daripada masyarakat luar bandar, pulau serta pedalaman bagi mendapatkan sumber protein murah dan meningkatkan pendapatan juga sosioekonomi,” jelasnya.

Sementara itu Pengarah Perikanan Sabah Azhar Kassim berkata, berkaitan isu penangkapan ikan secara haram, Jawatankuasa Membanteras Pengeboman Ikan akan diaktifkan semula bagi mengekang kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 itu.

“Sebenarnya kita baru sahaja selesai operasi seluruh Sabah (laut dan darat) bersama pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan memang agak serius di kawasan Pantai Timur,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha Tetap MAFFI, Leonard Stephen Poyong dan Pengurus Besar Ko-Nelayan, Yusof Ag Besar.

TAMAT