Home » 200 bekas ahli PKDM sertai Gagasan Rakyat Tambunan
Berita Tempatan Politik

200 bekas ahli PKDM sertai Gagasan Rakyat Tambunan

PILIHAN TEPAT: Alfred secara rasmi menyerahkan kesemua borang keahlian baharu Gaasan Rakyat Tambunan kepada Victor, disaksikan AJK bahagian Gagasan Rakyat Tambunan.

KOTA KINABALU: Seramai 200 bekas ahli Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) Sunsuron, Tambunan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tambunan.

Bekas Ketua Daerah Mengundi PKDM Sunsuron, Alfred Tabul John yang mengetuai bekas ahli PKDM itu menyerahkan borang keahlian mereka kepada Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan, Datuk  Victor P. Paut, di sini pada Sabtu lalu.

Majlis penyerahan itu dibuat sempena mesyuarat bulanan Gagasan Rakyat Tambunan, yang turut dihadiri Ketua Wanita Gagasan Rakyat Tambunan, Datuk Amelia Anjun serta ahli jawatankuasa parti itu.

Alfred, yang juga bekas ahli PKDM Sunsuron Tambunan berkata, kemasukan mereka ke dalam parti itu dengan rela hati tanpa paksaan atau desakan.

“Kami membuat keputusan menyertai Gagasan Rakyat kerana konsepnya `mendengar keluhan rakyat’ dan pemimpinnya, khususnya Victor merendah diri, pro aktif, sentiasa berusaha menyelesaikan masalah rakyat selain percaya hanya Gagasan Rakyat yang mampu menangani masalah rakyat,” katanya.

Mengulas perkara itu, Victor berkata, ia adalah satu isyarat yang jelas terhadap penerimaan rakyat Tambunan terhadap perjuangan Gagasan Rakyat yang menitikberatkan kesejahteraan mereka.

“Kami juga yakin bahawa kemasukan ini menunjukkan rakyat gembira dengan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor,” katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa gelombang kedua nanti, Gagasan Rakyat Tambunan dijangka akan menerima kira-kira 1,000 bekas ahli dan penyokong PKDM dalam tempoh terdekat ini.

“Gagasan Rakyat Tambunan kini mempunyai 6,000 ahli berdaftar, tidak termasuk jumlah kemasukan bekas ahli PKDM hari ini,” katanya.

Katanya, dengan kemasukan 1,000 bekas ahli dan penyokong PKDM kelak, ia akan membantu misi Gagasan Rakyat Tambunan untuk mencapai 10,000 keahlian menjelang akhir tahun ini.

Berucap di majlis ringkas penerimaan ahli baharu itu, Victor turut mengumumkan kelulusan yang diberi oleh kerajaan negeri untuk kerja menaik taraf dua padang bola sepak yang telah dipohon penduduk mukim Sunsuron.

“Inilah komitmen Gagasan Rakyat Tambunan yang turut mengambil kira kebajikan golongan belia untuk kemudahan aktiviti sukan,” katanya.

Sementara itu, Victor menyambut baik cadangan mewujudkan satu lagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Tambunan dan menyifatkannya amat bertetapan sekali berikutan keluasan geografi daerah itu, selain peningkatan jumlah pengundi yang kini telah mencecah lebih dari 35,000 orang yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang mencadangkan agar satu lagi kawasan DUN diwujudkan di Tambunan dan satu Parlimen.

— Yap Siong Han