Home » Program PANTAS berjaya selesai ukur lebih 46,000 hektar tanah 
Berita Tempatan Politik

Program PANTAS berjaya selesai ukur lebih 46,000 hektar tanah 

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, usaha itu melibatkan sebanyak 145 kampung yang terletak di 22 daerah seluruh negeri ini.

KOTA KINABALU: Sehingga 31 Mei 2024, Program Penyukatan Tanah Anak Negeri (PANTAS) berjaya menyelesaikan pengukuran sebanyak 31,518 lot tanah anak negeri dengan jumlah keluasan tanah 46,285.411 hektar atau 114,373.741 ekar.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, usaha itu melibatkan sebanyak 145 kampung yang terletak di 22 daerah seluruh negeri ini.

Katanya, kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberikan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan Program PANTAS di Sabah tahun ini.

Menurutnya, sebanyak 250 geran tanah hasil pengukuran PANTAS di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian tersedia untuk diserahkan bila-bila masa.

“Program PANTAS di Kampung Tambatuon pula sedang dijalankan dan dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung 2024 manakala, kebenaran dari Pihak Berkuasa Negeri untuk melaksanakan Program PANTAS bagi Kampung Togudon di kawasan Moyog diterima pada 3 Julai 2024.

“Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sedang dalam peringkat perancangan untuk memasuki kawasan berkenaan bagi memulakan pengukuran tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) mengenai jumlah peruntukan yang disediakan untuk Program PANTAS dan adakah kampung dalam kawasan DUN Kadamaian dan Moyog akan terlibat tahun ini atau tahun depan pada Persidangan DUN di sini pada Khamis.

Selain itu jelasnya, bagi daerah Telupid, JTU turut selesai menjalankan pemeriksaan ke atas empat kampung yang didapati sesuai untuk dilaksanakan Program PANTAS.

Menurutnya, kampung berkenaan adalah Kampung Ansuan, Wonod, Buis, dan Bouto selepas menerima kebenaran melaksanakan PANTAS diperoleh pada 28 Jun 2024.

Katanya, pada masa kini, JTU dalam peringkat perancangan untuk memasuki kampung-kampung berkenaan bagi memulakan pengukuran tanah. 

“Antara kriteria kawasan yang boleh dipertimbangkan untuk Program PANTAS termasuklah tanah kerajaan yang diduduki oleh anak negeri secara turun-temurun, kawasan yang berkeluasan sekurang-kurangnya 200 ekar, kawasan yang diduduki dan diusahakan oleh penduduk berstatus anak negeri dan berumur 18 tahun ke atas, dan keluasan setiap lot tidak melebihi enam hektar.

“Bagi daerah Sipitang, kampung yang sedang dalam proses pengukuran PANTAS adalah Kampung Maligan, Imui, Rundulang, dan Mengaya,” jelasnya.

— Siti Aisyah Narudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment