Home » Kumpulan Sawit Kinabalu ke arah tenaga boleh diperbaharui
Berita Tempatan

Kumpulan Sawit Kinabalu ke arah tenaga boleh diperbaharui

Nazlan menanam pokok sambil Jurimin (kanan) dan Irfanshah (2 kiri) memerhati.

SANDAKAN: Kumpulan Sawit Kinabalu komited dalam memberi fokus untuk memantau tenaga boleh diperbaharui dan kesan rumah hijau, khasnya berkaitan aktiviti sawit dan mitigasi berkenaan perubahan iklim semasa.

Pengurus Besar Bahagian Kelestarian Kumpulan Sawit Kinabalu, Nazlan Mohamad berkata, ia dilaksanakan Unit Karbon dan Perubahan Iklim yang baru diwujudkan sejak Jun tahun ini.

Jelasnya, unit ini penting dalam memahami perubahan iklim semasa. khasnya di Sabah, dan dalam usaha melestari alam sekitar.Beliau menjelaskan, ini juga salah satu usaha Kumpulan Sawit Kinabalu dalam memastikan mitigasi dan pemantauan dilaksanakan sebaiknya.

“Selain keuntungan, Sawit Kinabalu juga komited dalam melaksanakan konservasi secara berterusan, termasuk di Kinabatangan dan kawasan lain, melibatkan 8,000 hektar di seluruh Sabah,” kata Nazlan sejurus menghadiri Hari Alam Sekitar 2024 bertemakan “Land Restoration, Desertification and Drought Resilience”.

Acara itu dianjur bersama oleh Kumpulan Sawit Kinabalu dan Jabatan Perhutanan Sabah di Pejabat Unit Konservasi dan Biodiversiti Sawit Kinabalu, Sungai Pin, Kinabatangan pada Selasa.

Ia dirasmikan Pengurus Kanan Ladang Sg Pin, Irfanshah Jambra mewakili Pengurus Besar Wilayah Sandakan Sawit Kinabalu, Mohammad Muazam Syah Idris dan Pegawai Perhutanan Wilayah Sandakan, Jurimin Ebin.

Turut hadir, guru dan murid dari tiga sekolah rendah berdekatan, SK Paris, SK Kota Kinabatangan dan SK Batu Putih serta wakil rakan konservasi Sawit Kinabalu daripada Universiti Malaysia Sabah, WWF-Malaysia, Orang JUGA, KOPEL BHD dan BORA.

Pada program itu, hadirin juga menanam pokok yang disumbangkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah, sebagai salah satu aktiviti sokongan Program Penghijauan Malaysia peringkat negeri 2021-2025, yang menyasarkan penanaman 100 juta pokok seluruh negara sepanjang tempoh itu.

Sejak 2003, Kumpulan Sawit Kinabalu sahaja telah menanam 850,000 pokok.

Dalam perkembangan sama, dalam usaha menggalakkan lebih ramai pihak tampil menanam pokok, Kumpulan Sawit Kinabalu juga memperkenalkan ConserveByU yang boleh diakses melalui ConserveByU.com, di mana pokok boleh dibeli dan ditanam untuk usaha berkaitan.Jenis pokok yang dijual juga adalah pokok tempatan, jelasnya.

Sementara itu, selain menanam pokok, antara usaha konservasi lain yang dilaksanakan Sawit Kinabalu ialah koridor hidupan liar sepanjang 4km untuk gajah di Bagahak, Lahad Datu dengan 100 meter restorasi sungai.

Kawasan ini disediakan oleh Kumpulan Sawit Kinabalu dan usaha ini turut dibantu WWF Malaysia.

Koridor ini memudahkan pergerakan gajah dari satu hutan simpan ke hutan simpan lain, iaitu Silabukan ke Tabin, sejak 2021 selain terdapat tanaman untuk hidupan liar lain.

Ini juga usaha dalam memastikan gajah Borneo tidak diancam kepupusan seperti dalam laporan pihak berkenaan baru-baru ini.

Manakala di Kinabatangan, berdekatan Sungai Pin, beliau berkata, Kumpulan Sawit Kinabalu juga membuat jambatan untuk laluan orang utan dan ia juga menarik hidupan liar ini untuk lalu di kawasan berkenaan dengan selamat.

Berkenaan ekopelancongan, Kumpulan Sawit Kinabalu membuka laluan bagi aktiviti trek hutan dan menyelusuri Sungai Kinabatangan kepada pelancong, menarik 500 pelancong luar negara seperti Jepun dan Eropah.

Sawit Kinabalu juga membuat pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew bagi memberikan taklimat berkenaan usaha konservasi yang telah dan sedang dilakukan kumpulan itu.

Semasa majlis itu, Joimin menyuarakan penghargaan atas kerjasama Sawit Kinabalu dalam konservasi dan penanaman pokok, bersama usaha pihak lain, termasuk badan bukan kerajaan ke arah usaha menjayakan sasaran penanaman 40 juta pokok di Sabah menjelang 2025.

Beliau berkata, ketika ini, 16.6 juta pokok telah pun ditanam di Sabah.

Muazam Syah, dalam teks ucapan yang dibacakan Irfanshah, berkata dunia kini menghadapi tiga krisis utama iaitu perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan pencemaran. 

Beliau berkata peningkatan mendadak suhu global membawa kepada kesan cuaca teruk termasuk ribut, banjir dan kemarau, yang menjadikan bencana alam lebih teruk dan mengancam ekosistem seluruh dunia.

Jelasnya, degradasi tanah, penggurunan dan kemarau ialah krisis senyap namun kritikal yang menjejaskan manusia dan planet ini. “Pemulihan tanah menghidupkan kembali ekosistem yang telah dan semakin merosot.

“Misalnya dengan menanam pokok, membersihkan tebing sungai, atau hanya dengan memberi ruang untuk alam semula jadi kembali pulih,” tambahnya.

Justeru, ia boleh membalikkan arus degradasi tanah, kemarau dan penggurunan tersebut.

Di samping itu, pemulihan itu akan meningkatkan simpanan karbon dan melambatkan perubahan iklim.“Ekosistem ini adalah kompleks dan sangat pelbagai. Oleh itu, pemulihannya memerlukan perancangan teliti dan pelaksanaan konsisten,” jelasnya.

HE

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment