Home » Kerajaan alu-alukan penglibatan masyarakat melestarikan komuniti berinformasi: Nizam
Berita Tempatan Politik

Kerajaan alu-alukan penglibatan masyarakat melestarikan komuniti berinformasi: Nizam

WATIKAH: Jainisah menyampaikan watikah kepada pengerusi-pengerusi komuniti madani di Parlimen Tawau.

TAWAU: Kerajaan mengalu-alukan penglibatan masyarakat dalam usaha melestarikan komuniti berinformasi bagi menyampaikan maklumat yang sahih, telus dan bermanfaat.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penyebaran berita palsu yang semakin kritikal sememangnya menjadi cabaran besar semua kerajaan di seluruh dunia ketika ini.

Katanya, kejayaan atau kegagalan sesebuah negara menangani isu berita palsu akan menjadi penentu kepada kualiti hidup rakyat sama ada aman sentosa ataupun sebaliknya.

“Saya sedar Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) berhadapan dengan banyak kekangan dalam menyalurkan maklumat ekoran ledakan teknologi moden yang digunakan secara meluas oleh masyarakat.

“Justeru, menjadi peranan semua pihak termasuk kerajaan dan rakyat membantu menyebarkan kandungan yang bersifat mendidik serta menyemak asas kebenaran sesuatu kandungan berita,” katanya.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Program Jalinan Aspirasi Wahana Insan (JIWA) Komuniti Madani Peringkat Parlimen Tawau, di sini, Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, katanya, serangan ‘scammer’ juga sudah semakin hebat dan pelbagai cara digunakan seiring dengan kemajuan teknologi yang ada.

Katanya, jika dahulu kita dengar scammer hanya wujud dalam laman sosial seperti Facebook, tetapi kini mereka juga hadir dalam bentuk ruang sembang seperti Whatsapp dan Telegram.

“Buli siber juga dilihat semakin aktif di negara kita, bahkan baru-baru ini negara digemparkan dengan kematian seorang pempengaruh ataupun influencer TikTok disebabkan perbuatan berkenaan.

“Akibat tekanan dan ugutan yang melampau, menyebabkan pempengaruh terbabit bertindak meragut nyawanya sendiri dipercayai kesan prsikologi yang tidak dapat dilihat,” katanya.

Menurutnya, bagi menghentikan penyalahgunaan teknologi dan aktiviti tidak bermoral ini, perlunya wujud satu pasukan yang mendukung semangat perpaduan seperti Komuniti Madani ini.

“Dengan gerak kerja yang dimainkan oleh pasukan komunti madani ini dapat memberikan pencerahan dan pendidikan sivik kepada masyarakat.

“Saya berharap kepimpinan komuniti madani yang dilantik dapat membantu kerajaan membanteras masalah penyebaran berita tidak sahih di kawasan masing-masing,” katanya.

PENGHARGAAN: Nizam menerima cendera kenangan daripada Jainisah.

Sementara itu, Pengarah JaPen Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, pihaknya berharap pelantikan pengerusi dan penubuhan komuniti madani dapat membantu mengekang berita palsu yang sering disebarkan di media sosial.

Selain itu, beliau berharap komuniti madani dapat terus menjadi rakan strategik yang aktif kepada JaPen untuk sama-sama menyebarkan, menyampaikan maklumat kepada komuniti di persekitaran mereka.

“Saya juga berharap mereka dapat menyampaikan dasar dan program kerajaan supaya semua masyarakat di akar umbi dapat melibatkan diri dalam pembangunan sama ada diri sendiri mahupun masyarakat.

“Semua masyarakat turut diminta menyokong usul yang kerajaan laksanakan dalam memperbaiki taraf hidup rakyat dan membangunkan negeri Sabah khususnya,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment