Home » Rakyat Sabah ada sebab mengundi parti tertentu
Politik Sudut Pandangan

Rakyat Sabah ada sebab mengundi parti tertentu

Mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan keputusan penuh kesemua 73 kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang berlansung pada 26 September 2020.

MEREKA yang mengikuti perkembangan politik Sabah daripada tahun 1963, pasti maklum bahawa rakyat Sabah mengundi atau menyokong sesebuah parti dalam pilihan raya bersebab. Sebab utama adalah berkaitan kongsi kuasa.

Kerana sebab kerapnya bertukar kerajaan berkaitan kongsi kuasa, maka Perdana Menteri ke-4  Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad (kini Tun) memperkenalkan penggiliran Ketua Menteri antara bumiputera islam-bumiputera bukan islam- cina pada tahun 1994.

Parti yang dapat menseimbangkan perkongsian kuasa akan disokong, maka dapat membentuk kerajaan. Apabila salah satu kaum merasa terpinggir, maka berpakat pula dengan 2 kaum lain, menumbangkan kerajaan, sebab itu di Sabah bertukar kerajaan seperti bertukar baju, istilah yang diulang ADUN Usukan Datuk Seri Dr Salleh Tun Said sebagai ahli panel pada Himpunan BN Sabah di Sandakan pada Ahad.

Kerajaan USNO tumbang pada tahun 1976, kerana kaum bumiputera bukan islam-cina merasa dipinggirkan, kemudian Berjaya tumbang pada tahun 1985, kerana semua kaum merasa dipinggarkan, kerana masa itu kerajaan bagaikan syarikat sendirian berhad.

Kemudian PBS kehilangan banyak kerusi pada tahun 1994 ekoran tindakan parti itu keluar daripada BN diambang pengundian pada PRU1990. Sudah lah daripada awal  parti itu kurang sambutan pada bumiputera islam, maka kerusi yang dimenangi 25/48 dan kerusi-kerusi itu majoriti di kawasan bumiputera bukan islam dan sebahagian kerusi cina dan beberapa kerusi bumiputera islam.

Pada PRU1999, PBS masih menang 17/48,  sepertimana juga kedudukan USNO yang sentiasa menang di kerusi tradisi sejak kehilangan kuasa, akan tetapi tidak mendapat kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Apabila berlaku persempadan baharu yang digunakan pada tahun 2004, PBS melihat tiada peluang lagi jika bergerak  solo, maka tahun 2002 menyertai semula Barisan Nasional.

BN Sabah yang diterajui Umno bertahan melepasi jinx kerajaan 9 tahun, akan tetapi hilang majoriti mudah pada PRU-14  termasuk gagal menang sebarang kerusi di kawasan cina dan terpaksa menjemput STAR parti pembangkang untuk membentuk kerajaan BN Plus pada Mei 2018.

Mengapa BN hilang majoriti? Sebabnya dua kaum berpakat, menerusi Warisan dan PH, dan hanya kerana kesan persempadan, kolaborasi dua parti itu gagal mendapat kerusi yang mencukupi, walaupun pada hakikatnya pada PRU itu BN ditumbangkan, kerana jumlah kerusi pembangkang lebih 50 peratus daripada yang dipertandingkan.

Kini, menerusi Kerajaan Sabah hari ini, kombinasi atau perkongsian kuasa antara 3 kaum terbesar cukup ketara, dan masing-masing pihak merasa selesa, terutama selepas 6 Januari 2023, langkah menumbangkan kerajaan yang dilakukan pemimpin bumiputera islam yang gagal.

Melihat keselesaan antara tiga kaum terbesar yang diwakili parti masing-masing dalam kerajaan Sabah hari ini, maka TIADA SEBAB parti lain dapat menggugat, samada daripada BN atau Warisan atau kolaborasi dua parti itu, kerana dua parti itu hanya berlegar-legar pada kawasan bumiputera islam.

Tiada sesiapa yang dapat menafikan, walaupun pemimpin BN dan Warisan cuba meremehkan sokongan rakyat bumiputera islam dan bukan islam terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala PH pula melihat kelebihan pada GRS tersebut, sebab itu, PH walaupun masih berteka teki berkaitan kolaborasi/kerjasama pada PRN-17, akan tetapi gerak geri para pemimpin itu mencerminkan  kencederungan tinggi akan bersama GRS.

Gerakan BN mempengaruhi PH bersama parti itu termasuk membuat kesimpulan unilateral berkaitan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Himpunan BN ke-50 di Sandakan akhirnya memakan diri sendiri, apabila PMX tidak hadir.

Pandangan penulis pada PRN-17 Sabah, rakyat akan menyokong parti yang mencerminkan perkongsian kuasa 3 kaum terbesar, dan tentunya pilihan adalah GRS-PH jika dua parti itu mengambilkira kecenderungan rakyat. Fikir-Fikirkan.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .