Home » Realisasikan agenda memperkasa pendidikan negeri: Hajiji
Berita Tempatan Politik

Realisasikan agenda memperkasa pendidikan negeri: Hajiji

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melakukan gimik perasmian Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik (MEKAR XII) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Tahun 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada Isnin.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam merealisasikan agenda kerajaan ke arah memperkasa, meningkatkan kecemerlangan dan mutu pendidikan di negeri ini.

Katua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerjasama ini amat penting kerana kecemerlangan pendidikan akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kehidupan rakyat keseluruhannya.

Beliau berkata, usaha itu termasuklah menambah baik dan meningkatkan lagi prasarana pendidikan di negeri ini, seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam melahirkan modal insan yang berkemahiran, cemerlang dan mampu bersaing.

“Justeru, semua pihak yang berkaitan termasuk warga Jabatan Pendidikan,  pendidik dan ibu bapa perlu berganding bahu serta bekerjasama demi kejayaan dan masa depan anakanak kita.

“Sebab itu dalam konteks kerajaan negeri, kita terus memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan agar lebih ramai anak Sabah dapat melanjutkan pendidikan mereka sehingga ke tahap tertinggi selain mengikuti kursus kemahiran yang diperlukan.

“Dalam hal ini, kita menyediakan peruntukan sebanyak RM474.55 juta pada tahun ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Kali ke-12 JPN Sabah 2024 di sini, hari ini.

 Hajiji bersama tetamu jemputan lain merakamkan gambar kenangan dengan para penerima Anugerah Khas MEKAR 2024.
ALBUM: Hajiji bersama tetamu jemputan lain merakamkan gambar kenangan dengan para penerima Anugerah Khas MEKAR 2024.

Hajiji berkata, kerajaan negeri telah melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah yang menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini melalui satu portal. 

Katanya, ia adalah inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasa bantuan kepada anak-anak Sabah terutama yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi melalui gabungan kerjasama badan-badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan.

Beliau mahu JPN membantu memperluaskan hebahan mengenai portal itu bagi memperkasa modal insan menerusi pembangunan sektor pendidikan di negeri ini.

Beliau berharap, ilmu-ilmu dan cara pengajaran berasaskan teknologi komunikasi dan internet (ICT) terus diamalkan dan dibudayakan, sekali gus menjadikan cabaran dan ilmu semasa pendemik sebagai pengubahcara dalam pengajaran, sesuai dengan aspirasi negara untuk memiliki sistem pendidikan yang berdaya saing, kompetitif dan cemerlang. 

“Kewujudan sebuah sistem pendidikan yang bersifat ‘glokal’ iaitu mampu berdaya saing di peringkat global tetapi berpegang teguh pada jati diri amat penting. 

“Justeru, warga JPN Sabah khususnya akan berperanan dan bertanggungjawab dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0.,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sentiasa menyokong usaha JPN dalam menjayakan hasrat dalam sembilan Fokus Lanskap Pendidikan yang terkandung dalam hala tuju pencapaian yang digariskan oleh jabatan itu bermula tahun 2024 sehingga 2025.

Katanya, ini termasuklah deklarasi yang diterjemah daripada Lanskap Pendidikan iaitu menoktahkan Gred Purata Negeri (GPN) SPM ‘Kepala 5’, seiring dengan hala tuju Pelan Pembangunan SMJ 1.0 yang menggariskan pembangunan modal insan antara objektif utama.

“Kita mengharapkan agar kecemerlangan yang dikecapi hari ini dibudayakan dan dijadikan amalan berterusan serta menjadi contoh teladan kepada semua rakan warga Jabatan Pendidikan dalam membentuk ekosistem pendidikan yang cemerlang,” katanya.

Hajiji juga berharap pengiktirafan yang diberikan menerusi MEKAR akan menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada warga pendidik untuk terus meningkatkan kecemerlangan pada masa akan datang dan sebagai acuan kecemerlangan yang wajar diterapkan ke arah pembudayaan kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan.

 Hajiji menyampaikan Anugerah Khas Ketua Menteri kepada Datuk Mary Teresa Kinajil pada majlis berkenaan.
CEMERLANG: Hajiji menyampaikan Anugerah Khas Ketua Menteri kepada Datuk Mary Teresa Kinajil pada majlis berkenaan.

“Semoga sektor pendidikan negeri akan terus berkembang maju selari dengan kepesatan dunia pendidikan masa kini, yang juga terkait dengan pembangunan dan kecanggihan teknologi maklumat dalam abad ke-21 ini.

“Sesungguhnya, kita tidak lagi mampu untuk tertinggal jauh di belakang dalam apa jua bidang, terutamanya dalam sektor pendidikan yang terpenting dalam mencipta dan membina pembangunan modal insan demi kemajuan serta pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd. Arif, Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Haji Raisin Saidin dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar.

TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment