Home » ESSCOM, KTYS rapatkan jalinan mesra
Berita Tempatan Politik

ESSCOM, KTYS rapatkan jalinan mesra

KENANGAN: Joachim serta tetemu kehormat yang lain merakamkan gambar kenangan dengan para peserta.

SANDAKAN: Lebih 500 warga Sandakan menghadiri program sosioekonomi anjuran bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) di Dewan Serbaguna, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, di sini hari ini.

Program bertujuan memberi kursus dan pengetahuan kepada golongan sasar agar memperolehi kemahiran yang boleh diguna pakai untuk meningkatkan ekonomi keluarga serta masyarakat.

Antara pengisian program ini ialah taklimat kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan, pameran oleh agensi kerajaan, kaunter pengambilan pelajar, kaunter pengambilan askar wataniah, cabutan bertuah, kuiz keselamatan dan demonstrasi oleh Sun Academy, Sandakan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berharap program diadakan sebagai permulaan kepada usaha yang lebih besar dalam memperkasa dan memajukan komuniti setempat.  

Menghargai sumbangan besar ESSCOM kepada penduduk di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) khususnya di Sandakan, beliau berkata, ESSCOM telah memainkan peranan  penting dalam mengawal  keselamatan di kawasan timur Sabah, termasuk Sandakan, daripada ancaman keselamatan seperti  pencerobohan  dan jenayah rentas sempadan.

“Dengan adanya ESSCOM, kita dapat menjalani kehidupan seharian  dengan lebih tenang dan selamat. 

“Usaha berterusan mereka dalam rondaan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama erat dengan komuniti setempat amat dihargai dan patut dipuji. 

“Sebagai rakyat Malaysia, kita patut sama-sama membantu agensi penguatkuasaan dengan menyalurkan maklumat untuk membanteras jenayah,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan program berkenaan.

Beliau berkata, program diadakan adalah salah satu contoh bagaimana kerjasama antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan dapat membawa manfaat besar kepada komuniti.

Beliau berharap agar semua peserta dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperolehi sepanjang program dan mengaplikasikannya dalam  kehidupan seharian.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan program-program melalui KKTP dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk meningkatkan infrastruktur, kemudahan awam dan membantu rakyat di Sandakan.

Katanya, ini termasuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) seperti PPR Taman Mesra, PPR Taman Harmoni, PPR Taman Murni, PPR Lintas Sibuga, PPR Taman Muhibbah, PPR Sungai Manila, PPR Batu Sapi, PPR Gum-Gum dan PPR Batu Putih. 

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment