Home » Pembiayaan RM16 billion dan 40 peratus isu berasingan, kata bekas presiden SLS
Berita Tempatan Politik

Pembiayaan RM16 billion dan 40 peratus isu berasingan, kata bekas presiden SLS

Chin berkata penjelasan itu membangkitkan isu penting mengenai perbezaan antara tanggungjawab Persekutuan dan hak perlembagaan khusus untuk Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Kota Kinabalu: Peruntukan RM16 bilion daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah adalah penting dan perlu untuk sokongan berterusan negeri, tetapi ia tidak patut membayangi hak Sabah untuk mendapatkan pemberian khas 40 peratus itu, kata bekas Presiden Persatuan Undang-undang Sabah (SLS), Datuk Roger Chin.

Beliau berkata perbezaan antara tugas Persekutuan dan hak Negeri adalah penting dalam mengekalkan integriti Perlembagaan Malaysia dan memastikan Sabah menerima sokongan yang sepatutnya.Pengiktirafan dan peruntukan sewajarnya bagi pemberian khas itu akan memupuk pertumbuhan saksama dan mengukuhkan perpaduan Persekutuan, katanya.

“Selain itu, memupuk komunikasi dan kerjasama jelas antara entiti Persekutuan dan Negeri adalah penting untuk mendukung hak perlembagaan dan menyokong pembangunan Sabah dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Chin mengulas penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peruntukan RM16 bilion untuk Sabah.

Chin berkata penjelasan itu membangkitkan isu penting mengenai perbezaan antara tanggungjawab Persekutuan dan hak perlembagaan khusus untuk Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata, Anwar menjelaskan bahawa peruntukan RM16 bilion yang diumumkan untuk Sabah merangkumi pelbagai perbelanjaan, termasuk projek pembangunan dengan RM6.6 bilion diperuntukkan khusus untuk inisiatif ini; pendidikan yang meliputi gaji guru dan penyelenggaraan sekolah, suatu tanggungjawab Persekutuan yang memastikan standard pendidikan kebangsaan; keselamatan sempadan yang merupakan kewajipan Persekutuan untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan sempadan negara; infrastruktur yang merangkumi penyelenggaraan dan pembaikan jalan, yang merupakan perkhidmatan penting yang biasanya dibiayai oleh belanjawan Persekutuan.

Beliau berkata perbelanjaan yang digariskan adalah tanggungjawab yang lazimnya diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu gaji dan infrastruktur perkhidmatan awam, kerana ini adalah perkhidmatan asas yang perlu disediakan oleh Kerajaan Persekutuan kepada semua negeri bagi memastikan kesaksamaan dan kefungsian dalam negara, manakala keselamatan dan pendidikan adalah sektor penting untuk kestabilan dan kemajuan negara, memerlukan pengawasan dan pembiayaan Persekutuan.

“(Tetapi) pemberian khas 40 peratus ialah hak perlembagaan. Hak Sabah kepada pemberian khas 40 peratus, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, berbeza daripada peruntukan biasa Persekutuan.

“Pemberian ini dikira berdasarkan 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperolehi dari Sabah, yang dilaporkan berjumlah RM10.2 bilion. Dengan itu, Sabah sepatutnya menerima kira-kira RM4.08 bilion sebagai hak perlembagaan langsung.”

Chin berkata terdapat perbezaan kritikal antara pembiayaan biasa Persekutuan dan pemberian khas, sambil menambah peruntukan RM16 bilion tidak boleh digabungkan atau dilihat sebagai pengganti kepada geran khas 40 peratus, yang merupakan hak perlembagaan berasingan.

“Peruntukan RM16 bilion itu membabitkan bidang yang sememangnya tanggungjawab Persekutuan. Ini termasuk pendidikan, keselamatan dan infrastruktur, iaitu perkhidmatan penting yang dijangka dan diterima oleh setiap Negeri sebagai sebahagian daripada Persekutuan.

“Pemberian khas itu direka untuk menangani keperluan unik dan sumbangan Sabah, menyediakan sokongan kewangan tambahan melebihi peruntukan biasa Persekutuan. Ini memastikan Sabah boleh membangun setanding dengan negeri lain dan menangani cabaran serantau tertentu.

“Pentadbiran peruntukan Persekutuan dan pemberian khas perlu telus. Penyebaran maklumat tepat dan komunikasi jelas daripada pihak berkuasa Persekutuan adalah penting untuk mengelakkan salah faham dan memupuk kepercayaan.

“Pemberian khas itu bukan sekadar transaksi kewangan tetapi pengiktirafan sumbangan Sabah kepada kekayaan negara. Adalah penting untuk memastikan dana ini digunakan secara berkesan untuk menggalakkan pembangunan mampan, menambah baik infrastruktur dan meningkatkan kualiti hidup penduduk Sabah,” katanya.

Chin berkata situasi itu juga menyerlahkan keperluan untuk dialog berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi memastikan pengagihan sumber yang adil dan saksama, sambil menambah status unik Sabah memerlukan rundingan penuh hormat untuk mendapatkan hak dan keperluan pembangunannya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment