Home » UCSF perlu sentiasa beri nilai tambah program pengajian
Berita Tempatan Politik

UCSF perlu sentiasa beri nilai tambah program pengajian

ALBUM: Hajiji bergambar bersama para graduan University College Sabah Foundation (UCSF) sempena Majlis Konvokesyen Kali ke-3 UCSF hari ini.

KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) perlu sentiasa menambah baik dan memberi nilai tambah dalam lebih 10 program pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda yang ditawarkan kepada pelajar, bagi memenuhi kehendak pasaran.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, antara yang wajar diberi perhatian ialah pengukuhan program akademik Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik (STEM) dan juga pemerkasaan Sistem Pendidikan Teknikal & Latihan (TVET) bagi memenuhi cabaran Revolusi Industri 4.0.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan penuh terhadap apa juga usaha pembangunan UCSF dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan kecemerlangan institusi, melahirkan modal insan yang berkemahiran, berkualiti dan menggerakkan transformasi pendidikan di negeri ini.

“Pendidikan merupakan pencetus kreativiti dan penjana inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja dan menjadi pengupaya perkembangan ekonomi keseluruhannya.

“Justeru itu, UCSF telah mengambil langkah yang proaktif mewujudkan entiti baharu antaranya Centre for Development Studies (CDS), Science, Technology and Innovation Centre (STIC), Pusat Keusahawanan UCSF dan beberapa penyelidikan yang sedang berjalan di universiti ini.

“Saya berharap semua yang dilaksanakan ini akan mencapai matlamat yang dihasratkan dan memberi manfaat kepada pemegang taruh,” katanya pada Konvokesyen Ke-3 UCSF di sini, hari ini.

Hajiji berkata, komitmen kerajaan negeri terhadap pertumbuhan ekonomi tidak berbelah bahagi dan turut melaksanakan dasar pintu terbuka kepada pelabur untuk datang ke negeri ini.

“Kita juga meneroka sumber-sumber ekonomi baharu termasuk Ekonomi Biru yang bakal membawa dimensi baharu ekonomi Sabah, berpaksi hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ). 

“Fokus kita pada masa ini ialah mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perkembangan perniagaan, menarik pelaburan dalam dan luar negeri, serta memastikan tenaga kerja kita dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi permintaan masa depan,” katanya.

Beliau yakin graduan UCSF berupaya menyokong proses pembangunan negeri ini yang merentasi pelbagai sektor ekonomi seperti pelancongan dan hospitaliti, pertanian, pembuatan, pembangunan sosial dan masyarakat, serta industri kreatif.

Hajiji percaya, dalam tahun mendatang akan lebih banyak pelaburan langsung asing dijangka akan memasuki negeri Sabah. Rebutlah peluang dan mainkan peranan penting dalam proses pembangunan negeri.

Menurutnya, konvokesyen merupakan titik permulaan bagi semua graduan mengorak langkah ke tahap kehidupan bekerjaya dan akan memasuki alam pekerjaan sejurus sahaja meninggalkan UCSF, perlu menyiapkan diri secara mental dan fizikal bagi memenuhi keperluan majikan.

“Gunakanlah semua ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang berada di UCSF agar dapat menjadi warga kerja yang efisien, kreatif dan inovatif,” katanya yang juga Canselor UCSF.

Hajiji berharap semua graduan yang menjadi alumni UCSF terus mengekalkan hubungan yang rapat dengan bekas pensyarah dan fakulti masing-masing bagi menentukan bentuk-bentuk khidmat bakti yang dapat disalurkan bagi manfaat universiti secara keseluruhannya.

“Semoga semua 166 graduan berjaya dalam apa jua lapangan yang diceburi, menyumbang kepada negeri, negara dan manusia sejagat serta menjadi  warganegara yang baik. 

“Rebutlah setiap peluang yang ada di luar sana agar mampu menjadi individu yang dapat melihat dan menilai sesuatu keadaan dari pelbagai perspektif,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment