Home » 450 anak jati Kuala Penyu terima sumbangan Yayasan Pendidikan Limus Jury
Berita Tempatan Politik

450 anak jati Kuala Penyu terima sumbangan Yayasan Pendidikan Limus Jury

ALBUM: Limus dan tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan bersama para penerima dan ibubapa yang hadir pada majlis itu.

KUALA PENYU: Seramai 450 pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu menerima bantuan daripada Yayasan Pendidikan Limus Jury (YPLJ) yang diadakan di Dewan Kampung Melampai, baru-baru ini.


Daripada jumlah itu, seramai 230 orang yang melanjutkan pengajian menerima sumbangan dana pendidikan manakala 150 lagi penerima mendapat bantuan komputer riba serta pencetak dan 70 lagi pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury berkata, penyampaian bantuan kelengkapan dan sumbangan dana pendidikan yang ditubuhkannya pada 2013 kini memasuki tahun ke sebelas tahun ini yang bermatlamat memastikan anak jati Kuala Penyu terus menikmati peluang mendapatkan pendidikan yang sewajarnya.


“YPLJ kini genap 11 tahun sejak ditubuhkan mulai saya menjadi wakil rakyat di Kuala Penyu. Dan sepanjang tempoh itu, ribuan anak kita telah mendapat faedahnya.


“Malahan saya rasa, sudah ada sebahagian daripada mereka yang menerimanya, yang mungkin telah tamat persekolahan atau pengajian masing-masing.


“Ia sebagai inisiatif di atas kesedaran, mengenai pentingnya pendidikan diberikan kepada anak-anak sebagai pewaris masa depan kita.

ALBUM: Limus dan tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan bersama para penerima dan ibubapa yang hadir pada majlis itu.

“Seperti yang saya selalu nyatakan, bahawa pembangunan bidang pendidikan merupakan keutamaan saya sejak hari pertama saya menjadi wakil rakyat di Kuala Penyu ini.

 
“Saya harap sumbangan ini bukan saja akan membantu meringankan beban ibu bapa dan anak-anak yang bersekolah, tetapi pada jangka masa panjang, dapat mengangkat dan meningkatkan mutu pendidikan di daerah Kuala Penyu secara keseluruhannya, ” katanya.


Limus yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya memberitahu usaha-usaha yang dilaksanakan yayasan itu adalah adalah sebagai menokok-tambah usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).


“Kerajaan negeri menerusi pelbagai jabatan dan agensinya termasuk Kumpulan Yayasan Sabah misalnya telah mewujudkan apa yang dipanggil sebagai Tabung Pendidikan Negeri Sabah ( atau ringkasnya TPNS), bertujuan membantu anak-anak Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.


“Bantuan pendidikan ini adalah ilham Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, untuk memperkasakan pendidikan, di mana ia dikhususkan untuk membantu golongan terpilih, terutamanya dari kumpulan B40.


“Sejak dilancarkan pada bulan Jun tahun 2022, dan setakat bulan Februari tahun ini, seramai 3,050 pelajar telah mendapat manfaatnya.

“Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan beberapa insentif bantuan pendidikan bagi meringankan bebanan ibu bapa yang kurang berkemampuan.

 
“Antara inisiatif pendidikan yang diperkenalkan kerajaan ialah pemberian Program Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Sabah (BISTARI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (BAGUS), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), dan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK).


“Semua ini adalah bukti komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri yang sangat mengambil berat, dan benar-benar prihatin, terhadap golongan yang memerlukan bantuan, khususnya mereka yang berada dalam kategori B40, seperti digariskan menerusi hala tuju SMJ.


Justeru Limus berharap ibu bapa terus menitikberatkan soal pembelajaran anak-anak secara berterusan kerana beliau percaya pendidikan merupakan ‘tiket’ untuk kehidupan yang lebih baik di masa depan. oleh 

Kenneddy Corlleus