Home » Syor MPN kepada kerajaan dorong perniagaan bangkit semula
Berita Dalam Negara

Syor MPN kepada kerajaan dorong perniagaan bangkit semula

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana Geran Khas Prihatin (GKP) yang diberikan oleh kerajaan sedikit sebanyak membantu kami untuk mengekalkan kakitangan sedia ada."

KUALA LUMPUR – Majlis Pemulihan Negara (MPN) kekal komited memainkan peranannya dengan mengutarakan pelbagai inisiatif bagi membantu kerajaan melaksanakan program pemulihan ekonomi selepas pandemik COVID-19.

Ini terbukti apabila usaha dilakukan MPN membuahkan hasil khususnya kepada golongan sasaran.

Bagi pengasas dan Pengarah Urusan Cotton Metaphore, Rosminah Hanim Mohd Adnan, beliau mengakui pandemik memberi kesan kepada perniagaannya sehingga terpaksa ditutup selama enam bulan sebelum dibuka secara berperingkat.

Perniagaannya mengalami kekangan tenaga buruh asing dari Indonesia dan Bangladesh untuk menjahit pakaian, berikutan permintaan yang tinggi.

“Kebanyakan anak muda lebih berminat untuk bekerja dalam bidang e-hailing dan bekerja dari rumah, jadi untuk mengisi kekosongan itu agak sukar.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana Geran Khas Prihatin (GKP) yang diberikan oleh kerajaan sedikit sebanyak membantu kami untuk mengekalkan kakitangan sedia ada.

“Dengan wang itulah kami membayar gaji minimum ketika pandemik melanda kerana pekerja adalah aset berharga syarikat untuk meneruskan kelangsungan perniagaan ini.

Sementara itu, Pengurus Bonda Cutelicious Resources, Siti Jumala Abdul Jais, berkata pandemik memberi kesan amat teruk kepada perniagaan diusahakan hingga perlu berhutang dengan pihak bank.

Katanya, sepanjang pandemik, tiada bantuan diterima, namun beliau berusaha meminjam dengan pihak koperasi bagi membayar segala keperluan.

“Saya perlu meneruskan kelangsungan dengan membayar sewa kedai, gaji pekerja dan untuk pusingan modal.

“Saya bersyukur apabila sektor ekonomi dibuka semula, perniagaan dapat berjalan semula, namun perniagaan katering ditutup berikutan kesan pandemik masih dirasai seperti kenaikan harga barangan asas,” katanya.

Bagi Pengarah Syarikat KLB Food Industries Sdn Bhd, Nik Baizura Sabiamad, permintaan jualan sektor makanan meningkat secara mendadak di semua platform.

Berikutan itu beliau tidak menerima apa-apa bantuan perniagaan, tetapi moratorium selama enam bulan untuk dua fasa yang diberikan oleh kerajaan amat membantu.

“Apabila pelanggan sudah mulai boleh membeli di kedai fizikal dan keadaan kembali kepada norma kehidupan sebelum ini, jualan agak merudum dan persaingan mulai sengit.

“Jadi rancangan dan strategi baharu perlu dibuat untuk masuk pasaran kini. Ditambah pula dengan masalah pekerja dan kadar pusingan ganti terlalu tinggi, ini secara tidak langsung membantut operasi syarikat.

“Jadi saya amat berharap agar pembangunan diri terutama dalam kalangan graduan baharu perlu dijalankan bagi meningkatkan tenaga mahir,” katanya.

Berita Bersatu