Home » Negara beri peluang anak muda pegang jawatan
Berita Dalam Negara Politik

Negara beri peluang anak muda pegang jawatan

Radzi berkata seorang pemimpin perlu jujur dan ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab, sedia mendengar dan sedia untuk diajar, selain menyusun pandangan yang diterima mengikut keutamaan.

PUTRAJAYA – Malaysia diyakini sedang bergerak seiring negara luar, dalam memberi ruang kepada anak muda untuk menyandang jawatan penting organisasi termasuk pentadbiran kerajaan.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata anak muda sewajarnya diberi peluang dan dididik sebaik mungkin agar wujud generasi atau pelapis berkaliber pada masa akan datang.

“Apabila kita cakap tentang kepimpinan muda, setiap daripada kita perlu mainkan peranan dalam mengasuh anak-anak kita.

“Kita mesti bina generasi baharu yang jauh lebih hebat daripada kita,” katanya pada forum bertajuk ‘Kecemerlangan Kepimpinan’ yang diadakan sempena Forum Eksekutif Muda Global 2022 anjuran Kementerian Belia dan Sukan, di sini semalam.

Beliau berkata seorang pemimpin perlu jujur dan ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab, sedia mendengar dan sedia untuk diajar, selain menyusun pandangan yang diterima mengikut keutamaan.

Memberi contoh dalam mengemudikan Kementerian Pendidikan (KPM) setakat ini, Radzi berkata beliau menggunakan pendekatan berstruktur yang akan memberi impak positif dalam jangka masa panjang kepada pelajar sekolah.

“Perubahan adalah perkara yang paling ditakuti oleh semua. Sebab itu pemimpin kena berani bawa perubahan tapi berasas, berani berdasarkan maklumat yang tepat dan objektif yang jelas,” katanya merujuk kepada pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Katanya setiap perubahan yang dilakukan KPM, termasuk kedua-dua ujian itu, telah melalui pelbagai proses perbincangan teliti dengan pelbagai pihak berkepentingan dan tidak dibuat secara tergesa-gesa seperti yang didakwa ramai pihak.

Berita Bersatu