Home » GRS di landasan terbaik bangunkan Sabah
Berita Tempatan Politik

GRS di landasan terbaik bangunkan Sabah

AZRUL bersama PGRS bahagian Silam pada mesyuarat berkenaan.

LAHAD DATU: Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada di landasan terbaik untuk membangun negeri ini dengan efektif.

Naib Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim berkata, Sabah memerlukan iltizam politik untuk segera bangkit menjadi negeri maju.

Katanya, kestabilan merupakan formula ampuh bagi memastikan usaha mentadbir negeri dapat diberikan tumpuan utama oleh kerajaan.

“Momentum telah dicipta, pelbagai pencapaian berjaya direkodkan. Tinggal lagi bagaimana rakyat Sabah bersatu hati dan tindakan bagi menterjemahkan hasrat bersungguh-sungguh memakmurkan negeri ini,” katanya.

Azrun berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Pemuda Gagasan Rakyat (PGRS) Bahagian Silam.

Turut bersama pada mesyuarat berkenaan ialah Ketua PGRS Bahagian Silam, Datuk Mizma Appehdullah dan barisan Ahli Jawatankuasa PGRS Bahagian Silam.

Menurut Azrul, anak muda Sabah perlu menjadi agen kestabilan negeri. Memilih GRS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN17) akan datang adalah sebahagian langkah penting mewujudkan kestabilan di Sabah.

Katanya, dengan adanya kestabilan, Sabah akan bergerak pantas membangun dan maju.

“Kesatuan rakyat pelengkap kepada kejayaan negeri ini. Jika kita bersatu, suara kita akan lebih kuat dan dihormati. PRN17 medan terpenting untuk kita mencipta sejarah politik baharu di Sabah sebagaimana jiran kita di Sarawak,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PGRS Bahagian Silam, Hany Syuqrieyan menzahirkan penghargaan kepada semua ahli khususnya pemuda yang masih setia bersama parti.

Hany dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah kepada seluruh perwakilan  yang hadir bermesyuarat untuk membawa hasrat dan suara pemuda di kawasan ini.

— Azmie Lim