Home » Masih ada pihak pertikai kos pembelian bendera :Masidi
Berita Tempatan Politik

Masih ada pihak pertikai kos pembelian bendera :Masidi

Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun mengakui rasa terkilan apabila ada pihak yang mempertikai kewajaran membeli bendera yang harganya cuma RM10 atau RM12 untuk dikibar di rumah atau premis.

KOTA KINABALU : Sikap segelintir masyarakat yang mempertikai seruan kerajaan untuk mengibar Jalur Gemilang dan Bendera Sabah bagi menyemarakkan sambutan hari Kebangsaan dan Hari Sabah disifatkan sebagai sesuatu yang amat dikesali.

Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun mengakui rasa terkilan apabila ada pihak yang mempertikai kewajaran membeli bendera yang harganya cuma RM10 atau RM12 untuk dikibar di rumah atau premis.

Katanya, Kerajaan sebelum telah melancarkan program bagi menggalakkan rakyat untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah bermula 1 Ogos lalu.

“Selalu saya menyatakan kadang-kadang walaupun sambutan sudah cukup baik khususnya di luar bandar tapi saya agak sedikit terkilan kerana masih ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan kenapa mereka perlu beli bendera RM10, RM12 untuk dikibarkan di rumah, di premis dan sebagainya.

“Saya menyatakan yang barangkali walaupun negara kita ini bukanlah satu negara yang sempurna, negeri kita pun bukan negeri yang sempurna, masih banyak cabaran dihadapan kita.

“Tapi saya fikir berbanding dengan kebanyakan negara di dunia ini, saya menyatakan kita di Malaysia adalah antara yang paling beruntung. Tidak ada kacau bilau, tidak ada malapetaka yang terlalu sukar untuk kita hadapi, tidak ada rusuhan kaum dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi temubual bersama Sabah FM di sini semalam.

Masidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Sabah 2024, pembelian Jalur Gemilang dan bendera Sabah itu hanya perlu ‘mengorbankan’ wang setahun sekali.

“Bagi saya, bendera ini adalah sebagai lambang rasa hormat dan juga patriotisme saya kepada negara.

“Ini yang saya harap setiap tahun kita dapat semarakkan semangat ini supaya pada satu hari nanti orang soal bendera atau membeli bendera tidak dipertikaikan lagi.

“Itu sesuatu yang datang secara semula jadi kerana kita menjadi seorang rakyat yang bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment