Home » Wanita penentu kemenangan calon DUN Apas PRN17 – Nizam
Berita Tempatan Politik

Wanita penentu kemenangan calon DUN Apas PRN17 – Nizam

WANITA GAGASAN RAKYAT: Nizam bersama pemimpin dan ahli wanita Gagasan Rakyat DUN Apas.

TAWAU: Golongan wanita dilihat boleh menjadi penentu kemenangan kepada calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ia berdasarkan jumlah pengundi wanita di DUN Apas yang semakin meningkat ketika ini.

Katanya, setakat ini statistik dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan lebih 31,000 pengundi direkodkan di DUN Apas manakala 50 peratus daripadanya adalah terdiri daripada kaum wanita.

“Saya melahirkan keyakinan sokongan kaum wanita serta kerja keras jentera wanita Gagasan Rakyat tunjukkan selama ini akan memastikan DUN Apas dapat dikekalkan pada PRN akan datang.

“Kita sangat percaya jentera wanita ini fokus serta mengutamakan semangat kerja berpasukan bagi memastikan kerusi DUN Apas kekal milik Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

Menurutnya, kehadiran yang ramai hari ini menunjukkan kecekalan mereka terhadap Gagasan Rakyat dan sudah tentu ia menjadi pembakar semangat menjelang PRN akan datang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat DUN Apas, di sini hari ini.

Nizam yang merupakan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Pusat, berkata, pucuk pimpinan juga akan memberi pertimbangan untuk meletakan calon wanita pada PRN17.

Katanya, dibawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor semua faktor ini akan diambil kira sekali gus menjadi salah satu agenda yang akan diberikan perhatian kelak.

“Kita yakin memang ada calon wanita akan diberikan peluang untuk bertanding pada PRN Sabah akan datang.

“Namun perkara itu akan dibincangkan bila tiba masanya nanti, kita yakin wanita akan ada tempat mewakili GRS nanti,” katanya.

 Nizam menerima cendera kenangan daripada Ketua Wanita Gagasan Rakyat DUN Apas.
PENGHARGAAN: Nizam menerima cendera kenangan daripada Ketua Wanita Gagasan Rakyat DUN Apas.

Mengulas mengenai terdapat gesaan terhadap keperluan kerjasama GRS dengan UMNO, katanya, setakat ini kepimpinan negeri yang ada terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja menjelang PRN nanti.

“Menjadi matlamat serta hasrat kerajaan negeri adalah untuk memajukan negeri Sabah serta menyejahterakan rakyat di semua peringkat.

“Pada saya, pihak yang menggesa itu berhak untuk menyuarakan pendapatnya, namun kepimpinan GRS juga melihat segala faktor yang akan memberikan kelebihan menjelang PRN Sabah nanti.

“Kita optimis kerjasama kerajaan GRS bersama Pakatan Harapan (PH) Plus akan diteruskan pada masa akan datang dan terpulang kepada rakyat untuk menentukan sokongan nanti,” katanya. oleh 

–Hamzah Sanudin