KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah tidak pernah membuat sebarang komitmen kewangan membabitkan penganjuran bersama temasya Sukan SEA 2027.
Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, Kabinet negeri juga pada masa ini belum bersedia menjadi hos bersama berikutan kemudahan sukan yang tidak mencukupi.
“Mesyuarat Kabinet Kerajaan Sabah hari ini mengesahkan tidak pernah membuat sebarang komitment kewangan bagi penganjuran Sukan SEA 2027.
“Kerajaan Sabah juga belum bersedia menjadi ‘co-host’ kerana kemudahan-kemudahan sukan di Sabah masih perlu dipertingkatkan,” katanya dalam ciapan X di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, Sabah telah menghantar beberapa cadangan acara sukan yang sesuai untuk dipertandingkan di negeri ini bagi menjayakan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2027.
Katanya, Sabah sebelum ini telah dipelawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Persekutuan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) untuk turut serta menjayakan temasya berkenaan.
“Kita (Sabah) sudah dipelawa KBS Persekutuan melalui MSN dan kita juga telah menghantar beberapa cadangan kita, tetapi kita perlu berbincang dengan Kerajaan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia dalam kenyataan minggu lalu mengumumkan Malaysia menerima tawaran menganjurkan Sukan SEA 2027, dengan Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersetuju menjadi hos bersama dengan Kuala Lumpur.
Menteri KBS Malaysia Hannah Yeoh dilaporkan berkata KBS menolak tawaran beberapa negeri lain untuk menjadi hos bersama temasya itu kerana mereka tidak bersetuju menanggung kos penganjuran temasya sukan dwitahunan itu.
Katanya kos keseluruhan dianggarkan mencecah RM700 juta, berdasarkan kos Sukan SEA 2017 dan Sarawak bersetuju menampung 50 peratus daripada kos itu, manakala Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang RM15 juta.
— TAMAT
Add Comment