Home » Gagasan Rakyat pertahankan kerusi sedia ada pada PRN17
Berita Tempatan Politik

Gagasan Rakyat pertahankan kerusi sedia ada pada PRN17

SEMANGAT: Masidi dan Nizam bersama perwakilan Gagasan Rakyat Bahagian Apas dalam mesyuarat berkenaan.

TAWAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan pertahankan semua kerusi yang sedia ada bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, semua kerusi yang dipegang oleh Gagasan Rakyat akan dipertahankan dan pemilihan calon terbaik akan dilakukan.

Katanya, prinsip asasnya apa yang kita pegang sekarang, kita pertahankan dan selebihnya itu akan dibincang bersama parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui hati ke hati.

“Kita akan memilih atas andaian bahawa parti yang mempunyai calon terbaik dan mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk menang, kita akan sokong untuk bertanding.

“Tidak kira daripada parti komponen mana calon itu datang, perkara paling penting adalah GRS mesti menang di setiap kerusi yang dipertandingkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Apas, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, Gagasan Rakyat tiada niat mahu mencuri ahli ataupun merampas kerusi yang sedang dipegang oleh rakan dalam GRS.

“Malah, usaha kita untuk memperkuatkan parti adalah semata-mata agar rakan GRS boleh menang dalam PRN akan datang.

“Hal ini kerana, setiap kerusi GRS itu penting, tidak kira ditandingi oleh Gagasan Rakyat ataupun daripada mana-mana komponen parti GRS yang lain,” katanya.

 Nizam (kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Masidi.
PENGHARGAAN: Nizam (kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Masidi.

Beliau turut memberi makluman kepada semua rakan GRS supaya jangan khuatir sekiranya Gagasan Rakyat menjadi kuat dan semakin diterima rakyat.

“Sekiranya Gagasan Rakyat menjadi kuat, ia juga akan berjuang untuk GRS dan membantu kemenangan calon lain dalam kerajaan pada PRN akan datang,” katanya.

Sementara itu, Masidi menzahirkan rasa teruja kerana Gagasan Rakyat Bahagian Apas mendapat sambutan yang ramai dan keahliannya sudah mencecah lebih 11,000 orang.

“Saya cukup kagum dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan kerana berjaya mewujudkan 183 cawangan ketika ini.

“Sebagai kepimpinan parti mengharapkan bahagian-bahagian lain juga mencontohi langkah yang diambil oleh Gagasan Rakyat Bahagian Apas untuk memperkuatkan sokongan rakyat kepada kerajaan,” katanya.

— Hamzah Sanudin