Home » Peruntukan interim Sabah, Sarawak dinaikkan kepada RM600 juta
Berita Tempatan Politik

Peruntukan interim Sabah, Sarawak dinaikkan kepada RM600 juta

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, (kiri) Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (dua kanan) dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kanan) ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, (SICC) hari ini.

KOTA KINABALU: Jumlah peruntukan interim kepada Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM600 juta yang akan dilaksanakan bermula 2025.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu antara perkara yang dipersetujui dan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksana Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 2024 di sini hari ini.

Katanya, pemberian peruntukan berkenaan berhubung kait dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan iaitu peruntukan khas untuk Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, tahun lepas jumlah peruntukan interim untuk Sabah dna Sarawak adalah sebanyak RM300 juta.

Beliau berkata, peruntukan interim sepatutnya disemak dalam lima tahun. Namun perkara mengenai kenaikan itu diputuskan Perdana Menteri pada mesyuarat kali ini.

“Ini patut diumumkan waktu Bajet tapi ia diumumkan pada mesyuarat kali ini,” katanya pada sidang media selepas MTPMA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor; Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (duduk sembilan dari kanan) bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof,(enam dari kiri) bersama para pemimpin negeri Sabah dan Sarawak ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 di Pusat Konvensyen Antrabangsa Sabah, hari ini. Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, (tujuh dari kiri) dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (lapan dari kanan).

Fadillah berkata, pengumuman kenaikan peruntukan interim itu juga diterima dengan hati terbuka oleh kedua-dua pemimpin Sabah dan Sarawak.

“Kita ucapkan terima kasih kerana ada kenaikan dan peruntukan ini lebih kepada membantu Sabah dan Sarawak dari segi pengurusan.

“Bagaimana ia akan digunakan, itu kita serahkan kepada Sabah dan Sarawak…yang penting ada kenaikan,” jelasnya.

Sementara itu katanya, memandangkan keputusan itu masih di peringkat interim, jawatankuasa mesyuarat perlu memutuskan perkara berkaitan dengan formula.

Beliau berkata, perkara berkaitan dengan formula belum dapat dimuktamadkan dalam mesyuarat kali ini dan ia perlu diperincikan.

“Ada perkara yang dibincangkan tidak dapat diputuskan peringkat jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan saya dan ada perkara dalam kategori yang tidak dapat diputuskan kerana pandangan yang kuat dari Sabah, Sarawak dan Persekutuan.

“Perkara ini akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi iaitu dibincangkan di antara tiga pimpinan tertinggi, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah,” jelasnya.

Menurutnya, antara perkara yang tidak dapat diputuskan dalam mesyuarat kali ini termasuklah berhubung kait dengan royalti minyak, hasil duti setem, sempadan laut, dan satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu beliau tidak mahu memberikan sebarang komen berhubung tuntutan 40 peratus memandangkan perkara itu masih dalam prosiding mahkamah.

— TAMAT