Home » Azis Jamman sering cari jalan untuk cemar imej Ketua Menteri- Nizam
Berita Tempatan Politik

Azis Jamman sering cari jalan untuk cemar imej Ketua Menteri- Nizam

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

KOTA KINABALU: Kenyataan Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Azis Jamman berhubung biasiswa yang diluluskan Kerajaan kepada anak-anaknya membuktikan pemimpin pembangkang itu sentiasa mencari jalan untuk mencemarkan imej Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pemimpin pembangkang itu juga dilihat sering bersangka buruk terhadap pemimpin Kerajaan Sabah.

“Ketua Menteri dalam ucapannya sebelum ini telah memberikan contoh bahawa beliau (Hajiji) sentiasa adil dalam memberikan bantuan kepada sesiapa yang memohon pertolongan, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.  

“Ia adalah contoh yang sesuai memandangkan pelbagai kritikan dan fitnah dilemparkan terhadap dirinya serta kerajaan pimpinannya, beliau tetap berpendirian keadilan adalah prinsip penting yang menjadi pegangannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, sejak mentadbir Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor terkenal dengan sikapnya yang sentiasa membantu pihak-pihak yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama ataupun pandangan politik.  

“Menceritakan situasi Azis Jamman dan keluarga yang bertemu secara peribadi dengan Datuk Seri Hajiji Noor untuk mendapatkan kelulusan biasiswa adalah contoh yang ingin diberikan oleh Ketua Menteri tentang prinsipnya yang berkhidmat untuk semua.  

“Sikap Azis Jamman yang mengambil kenyataan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai modal politik mencerminkan diri sebenar Azis yang tidak tahu bersyukur serta berterima kasih malah Azis dengan angkuh menghentam dan menghina Ketua Menteri yang berniat baik untuk membantu anaknya,” katanya.

Nizam berkata, beliau percaya prinsip bagi membantu semua rakyat yang memerlukan akan diteruskan oleh Datuk Seri Hajiji Noor. 

“Sudah tentu ramai yang akan menerima manfaat daripada sikap terpuji yang dipamerkan oleh Ketua Menteri kita,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment