Home » Tindakan proaktif merealisasikan MA63
Berita Tempatan Politik

Tindakan proaktif merealisasikan MA63

Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun, optimis kedua-dua pemimpin Sabah dan Persekutuan komited dalam usaha merealisasikan MA63.

KOTA KINABALU: Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksana Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 2024, kelmarin mengulangi komitmen untuk menangani dan menyelesaikan tuntutan berkaitan MA63 bagi kepentingan Sabah dan Sarawak.

Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Mesyuarat itu mengulangi komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan tuntutan di bawah MA63 diselesaikan dengan segera demi kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya. 

Ia menyatakan bahawa tuntutan lain berkaitan MA63 yang masih belum selesai akan terus dibincang dan dipantau dalam platform rundingan lain.

Ia termasuk menerusi Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan beberapa Jawatankuasa Kerja yang ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi berkaitan, bagi memastikan tuntutan berkenaan diambil tindakan sewajarnya. 

Dalam sidang akhbarnya selepas mesyuarat itu, Fadillah mengumumkan beberapa khabar gembira, antaranya jumlah peruntukan interim kepada Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM600 juta mulai tahun 2025.

Tahun lepas, jumlah peruntukan interim untuk Sabah dna Sarawak adalah sebanyak RM300 juta.

Peruntukan interim sepatutnya disemak dalam lima tahun, namun perkara mengenai kenaikan itu diputuskan Perdana Menteri pada mesyuarat kali ini.

Dalam pada itu, pelbagai pihak di Sabah berharap Kerajaan Persekutuan terus mengambil langkah dan pendekatan proaktif dalam merealisasikan tuntutan terkandung dalam MA63 bagi kepentingan Sabah dan Sarawak.

Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun, optimis kedua-dua pemimpin Sabah dan Persekutuan komited dalam usaha merealisasikan MA63.

“Perdana  Menteri dan Kerajaan Persekutuan perlu melihat isu ini dan soal pemulangan 40 peratus hasil negeri dengan serius, termasuk mengambil tindakan dan langkah yang jelas ke arah menunaikannya secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata soal pemulangan 40 peratus yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia daripada pendapatan yang dikutip di Sabah, perlu ditunaikan tanpa berlengah-lengah.

“Untuk mencapai pembangunan seimbang dengan rakan-rakan lain dalam Malaysia, semestinya Sabah mendapat peruntukan pembangunan lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya, sambil merujuk sambutan Hari Malaysia (16 September) pada Isnin depan, yang merupakan tarikh tertubuhnya sebuah Persekutuan.

Justeru, katanya, setelah 61 tahun tertubuhnya Malaysia, rakyat dan negeri Sabah hendaklah mencapai kemajuan seimbang dengan rakan-rakan lain dalam Malaysia.

LEE
Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung dari Program Komunikasi Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga optimis mengenai penyelesaian tuntutan MA63 berikutan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Pusat.

Katanya, hubungan antara kerajaan Sabah-Persekutuan perlu ditelusuri dari sejarah pembentukan Malaysia itu sendiri bermula dari MA63 yang merangkumi janji hak-hak Sabah Sarawak. 

“Apa ertinya perjanjian tersebut sekiranya Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara tidak dipatuhi? 

“Pemulangan 40 peratus hasil dikutip kerajaan Persekutuan di Sabah secara terang-terangan termaktub dalam Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” katanya. 

Menurutnya, hal itu mengingatkannya terhadap ungkapan keramat daripada Tun Jugah (pemimpin dari Sarawak) yang berbunyi ‘anang Malaysia baka tebu, manis dipun tabar di hujung’ yang bermaksud “jangan Malaysia seperti tebu, manis di pangkal tawar di hujung.” 

Lee bersikap positif terhadap penyelesaian tuntas isu berkaitan MA63 dalam kepemimpinan kerajaan hari ini.

Baginya, terdapat usaha berterusan untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan MA63 di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj. Hajiji Hj. Noor dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terutamanya yang melibatkan hak hasil minyak, pengurusan autonomi dan pengagihan kuasa. 

“Komitmen kedua-dua pemimpin ini dilihat positif dengan Perdana Menteri sering menyatakan sokongan kepada pemerkasaan Sabah dan Sarawak menerusi pemulihan hak-hak MA63 meskipun realisasi sepenuhnya masih memerlukan usaha berterusan.

“Ini termasuklah negosiasi berterusan antara kerajaan negeri dan Persekutuan serta memastikan janji-janji yang dipersetujui dapat diterjemahkan ke dalam tindakan yang memberi faedah kepada rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Senator Annabell Perian, pula berkata penyelesaian terhadap isu berkaitan MA63 mempunyai sinar harapan yang cerah.

Ini kerana wujudnya hubungan Sabah-Persekutuan dan negeri jiran Sarawak yang cukup baik, terjalin erat dan saling melengkapi antara satu sama lain.  

“Perbezaan kebudayaan, kepercayaan, adat resam itu menjadikan hubungan antara negeri menjadi tali penguat silaturrahim dan kita seolah-olah saling menlengkapi sehingga negara luar juga mengagumi Malaysia dengan kepelbagaian kaum dan agama.

“Jika dilihat pada konteks pentadbiran dan hubungan dua hala antara Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah juga terjalin persefahaman yang erat.  

“Kerajaan Persekutuan cukup komited  dalam menyelesaiakan semua tuntutan dalam MA63 mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada melalui Jawatankuasa Teknikal MTPMA63,” katanya.  

Menurutnya, di bawah Kerajaan Perpaduan kini dapat dilihat jelas bagaimana beberapa tuntutan dalam MA63 berjaya diselesaikan sepenuhnya.

Ia termasuk pemberian kuasa penuh kepada Sabah dalam pelesenan dan penangkapan ikan laut, bekalan gas, kawal selia bekalan elektrik, badan kehakiman dan beberapa perkara lagi. 

“Selain itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri masih dalam proses berterusan menyelesaiakan beberapa tuntutan termasuk tuntutan 40% hasil Sabah yang hangat dibicarakan,” katanya.

Ketua Penerangan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), YB Senator Annabell Perian.

Menurut kenyataan media Fadillah kelmarin, terdapat 11 tuntutan di bawah platform rundingan MA63 telah berjaya diselesaikan sehingga kini. 

Tujuh daripadanya dirungkai di bawah kepemimpinan Perdana Menteri ke-10, satu di bawah Perdana Menteri Ke-8 dan tiga di bawah Perdana Menteri Ke-9.

Tujuh yang diselesaikan Perdana Menteri sekarang ialah Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak sebagai Jabatan Teknik; Penyerahan Kuasa Kawal Selia Bekalan Gas;  dan Pindaan Akta LHDN 1995 [Akta 533] bagi Melantik Wakil Kerajaan Negeri Sabah Dan Sarawak Sebagai Anggota Tetap LHDN.

Yang lain termasuk Pentadbiran Badan Kehakiman di Sabah dan Sarawak; Garis Panduan Khas Penyerahan Semula Tanah Direzabkan Bagi Maksud Persekutuan di Negeri Sabah dan Negeri Sarawak; Penyerahan Kuasa Kawal Elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Daripada Kerajaan Persekutuan Kepada Kerajaan Negeri Sabah; dan Cadangan Pindaan Perkara 95B Mengenai Ubah Suaian Bagi Negeri Sabah Dan Sarawak Mengenai Pembahagian Perundangan. 

Satu isu yang diselesaikan sewaktu zaman Perdana Menteri Ke-8 ialah Penyerahan Kuasa Kawal Selia Liquefied Petroleum Gas (LPG) kepada Kerajaan Negeri Sarawak. 

Manakala tiga isu diselesai waktu zaman Perdana Menteri Ke-9 ialah Penyerahan Kuasa Ke Atas Pentadbiran Pulau Sipadan Dan Pulau Ligitan Kepada Kerajaan Negeri Sabah; Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) Dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan; dan Pemberian Kuasa (Empowerment) Mengenai Pelesenan Dan Penangkapan Ikan Laut Dalam Kepada Kerajaan Negeri Sabah Dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Hakikatnya, mesyuarat MTPMA63 sememangnya amat penting bagi membolehkan kerajaan merencana tindakan susulan yang pragmatik berhubung status tuntutan di bawah MA63 yang masih belum selesai dilaksanakan. 

Atas komitmen itu juga, kerajaan telah memutuskan untuk menambah baik struktur platform perundingan antara ketiga-tiga peringkat kerajaan dengan memperkukuhkannya melalui pelantikan keahlian baharu dalam platform MTPMA63.   

— Lichong Angkui

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment