Home » Kulinari tradisional etnik pakej tarikan pelancong
Berita Tempatan Politik

Kulinari tradisional etnik pakej tarikan pelancong

PAMERAN: Rina ketika melawat pameran makanan etnik dalam majlis berkenaan.

TAWAU: Makanan warisan tradisional ataupun makanan tempatan boleh dijadikan satu pakej atau strategi untuk menarik lebih ramai lagi pelancong datang ke daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Haji Jainal berkata, setiap negeri atau daerah memiliki keunikan makanan masing-masing dan ia mencerminkan identiti budaya sesebuah tempat.

Katanya, makanan tempatan bukan hanya unik dari segi nama, tetapi turut memiliki keunikan dari segi penggunaan bahan, peralatan dan kaedah memasak untuk menghasilkan sesuatu resipi.

“Semua pakej keunikan ini andai diketengahkan mampu menarik pelancong atau pengunjung untuk mencuba sendiri cita rasa ditawarkan sesebuah destinasi pelancongan.

“Justeru, keunikan menu ini harus terus dijaga sama seperti aset warisan lain dipulihara supaya tidak tenggelam ditelan zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pameran Makanan Etnik Sempena Hari Malaysia Tahun 2024, anjuran Pertubuhan Perpaduan Etnik Tawau (PPET), di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, katanya, pelancongan makanan penting kerana ia juga satu daripada cara mengekalkan makanan warisan tradisional supaya dapat dinikmati generasi seterusnya.

“Sejarah pembentukan Malaysia sendiri memberi kesan kepada warna-warni kepelbagaian makanan tempatan kita dan ia diwarisi secara turun-temurun.

“Kepelbagaian kaum menjadikan makanan di Malaysia tarikan pelancongan yang menarik dan unik, menunggu masa diketengahkan ke mata dunia,” katanya.

PENGHARGAAN: Rina (tiga kiri) menerima cendera kenangan daripada penganjur.

Rina yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan Sabah berkata, inisiatif penganjur ini perlu diberikan sokongan padu kerana memberi ruang setiap etnik mempamerkan makanan tradisi mereka.

“Ketika ini, kita banyak didedahkan dengan makanan-makanan luar dan segera sehingga generasi sekarang tidak mengenali kulinari tradisi mereka.

“Jika tiada pihak yang cuba menonjolkan makanan tradisional kita, sudah pasti ia akan lenyap begitu sahaja mengikut peredaran zaman,” katanya.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment