Home » Anwar mahu pemimpin lain contohi semangat persahabatan Hajiji, Abang Johari
Berita Tempatan Politik

Anwar mahu pemimpin lain contohi semangat persahabatan Hajiji, Abang Johari

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Sambutan Hari Malaysia 2024 di Padang Merdeka Kota Kinabalu. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadhillah Yusof. Foto TVS

KOTA KINABALU: Semangat persahabatan yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg harus menjadi contoh kepada pemimpin lain di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semangat yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan diterjemahkan menerusi pendekatan bermuafakat dan semangat perpaduan yang tinggi.

Beliau berkata, teguran baik untuk berkongsi keluhan dan tuntutan ditunjukkan dalam semangat persahabatan daripada kedua-dua pemimpin itu.

“Saya akui ada masalah yang harus kita selesaikan, tapi saya bernasib baik selepas menjawat Perdana Menteri, dua sahabat yang menaruh keyakinan penuh, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji dan Premier Sarawak Abag Jo bermuafakat bicara dengan terang, tegur dengan baik sebagai sahabat, mengeluh dan menuntut tetapi dalam semangat persahabatan untuk menjayakan Malaysia negara keramat kita.

“Saya harap pemimpin-pemimpin lain belajar dari semangat yang mereka tunjukkan,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Padang Merdeka di sini semalam.

Beliau berkata, tidak benar kalau mereka (Hajiji dan Abang Johari) tidak pernah menuntut, mengeluh atau memohon, namun ia ditunjukkan dengan semangat perpaduan untuk menjayakan Malaysia.

Menurutnya, Malaysia aman dengan semangat kerja berpasukan tanpa ada kebencian, perkauman dan pemikiran sempit, hasutan serta mengadu domba.

Anwar berkata, tanpa adanya sikap sedemikian ia membolehkan kesatuan dalam menjayakan negeri dan negara dengan menghidupkan semangat berkenaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kalau ada muafakat, ada perbincangan baik, ada cadangan ia memudahkan urusan kita dalam kerja.

“Saya sebagai bapa menasihatkan rakan-rakan, bekerjalah sebagai satu pasukan, hindarilah fahaman yang keterlaluan yang menimbulkan kebencian dan musuh,” jelasnya.

Beliau juga menggesa untuk belajar sejarah penubuhan Malaysia, Semenanjung, Sabah dan Sarawak supaya belajar dari wawasan  bapa-bapa pejuang.

Katanya, walaupun mereka tidak terlalu canggih dalam perbicaraan, tidak mempunyai sijil berjela, tetapi mereka ada hati nurani dan wawasan yang baik untuk anak-anak bangsa pada masa akan datang.

Selain itu beliau berkata, kerajaan Persekutuan bertekad untuk mengangkat martabat semua negeri terutama di kawasan pedalaman, terpencil dan miskin bandar.

“Sama ada dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kita terus bertungkus lumus bekerja terutama di bawah Jawatankuasa Teknikal pimpinan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ataupun program lain.

“Kita  harus sama-sama mengangkat martabat semua negeri dan terutama kawasan pedalaman atau daerah terpencil dan kawasan miskin bandar.

Dalam pada itu, beliau amat mengagumi semangat luar biasa rakyat Sabah terutama anak-anak yang tidak berganjak walaupun dalam keadaan hujan ribut semasa majlis itu berlangsung.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024.

— Siti Aisyah Narudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment