Home » Amalkan politik sopan-santun, bersedia hadapi PRN: Gulam
Berita Tempatan Politik

Amalkan politik sopan-santun, bersedia hadapi PRN: Gulam

KENANGAN: Gulam (tengah) menerima cenderakenangan daripada Wanita, Pemuda dan Beliawanis selepas merasmikan persidangan serentak ketiga-tiga sayap parti itu.

PAPAR: Amalkan politik sopan-santun dan ambil iktibar daripada sejarah politik masa lalu.

Itu pesanan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawang, Dato Sri Gulam Haidar Khan Bahadar, kepada ahli Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kawang ketika merasmikan serentak mesyuarat agung tahunan ketiga-tiga sayap itu, di sini pada Ahad.

Katanya, sejarah politik masa lalu tertulis pengajaran penting untuk tidak terus-terusan berbangga dengan prestasi atau pencapaian, sebaliknya perlu bekerja secara berterusan.

“Marilah kita amalkan pendekatan politik sopan santun, utamakan nilai-nilai kemanusiaan dan menghargai perbedaan. 

 Seorang ketua cawangan menerima watikah pelantikan sempena mesyuarat agung tahunan itu.
LANTIKAN: Seorang ketua cawangan menerima watikah pelantikan sempena mesyuarat agung tahunan itu.

“Semua sayap parti termasuk Wanita, Pemuda dan Beliawanis, harus mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya bersedia untuk mengambil alih kepimpinan kerajaan dan parti di masa depan,” katanya.

Gulam yang juga Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Kawang turut meminta supaya jentera parti dipersiapkan untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Katanya, data dan fakta di kawasan masing-masing, termasuk di peringkat cawangan perlu dikemaskini.

Beliau mengulangi pendirian bahawa Gagasan Rakyat komited memberi sokongan pada Kerajaan Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, Gagasan Rakyat akan terus bekerjasama dengan parti-parti tertentu dan sehaluan dalam Kerajaan Perpaduan yang sudah terbina jambatannya dalam menghadapi PRN nanti. 

 Gulam bersalaman ketika menyantuni sebahagian perwakilan di luar dewan persidangan.
BERJIWA RAKYAT: Gulam bersalaman ketika menyantuni sebahagian perwakilan di luar dewan persidangan.

“Kita tidak pernah dan tidak akan membakar jambatan itu, sebagaimana cuba dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mengeruhkan keadaan. 

“Inilah uniknya Gagasan Rakyat. Biarpun jiwanya lokal, tapi citranya berada di persada nasional,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment