Home » Perpecahan pemimpin punca parti tempatan lemah
Politik Sudut Pandangan

Perpecahan pemimpin punca parti tempatan lemah

Kerajaan hari ini yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bersama-sama dengan barisan pemimpin lain bukan sahaja berkomited akan tetapi beriltizam tinggi untuk mencapai, merealisasikan harapan dan aspirasi rakyat, dan kemudiannya mengurusnya sebaik mungkin demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

MEREKA yang tergolong pemimpin sudah tentu menerima hakikat bahawa punca parti tempatan lemah kerana perpecahan.

Walaupun sangat sedar akan kelemahan itu, akan tetapi tetap juga memilih perpecahan. Seolah-olah perpecahan itu sesuatu yang wajar.

Lebih setengah abad rakyat menjadi saksi perpecahan pemimpin, dan kesanya pada negeri dan rakyat luarbiasa, khususnya berkaitan kemudahan asas, tingkat pendapatan, kadar pengangguran, kadar kemiskinan.

Oleh kerana peluang telah diberikan kepada mereka yang berkategori pemimpin lebih setengah abad, akan tetapi sehingga hari ini tetap juga berpecah, maka giliran rakyat pula memberi pengajaran atau contoh berkaitan bersatupadu.

Rakyat kena mengambil langkah untuk bersatupadu, jika tidak keadaan 60 tahun akan terus berulang.

Rakyat Sabah yang terdaftar sebagai pengundi dianggarkan menjangkau 1.9 juta pada PRN17, mereka ini lah yang boleh menunjuk ajar kebersatupaduan, dengan memilih parti yang mempunyai pemimpin yang sanggup memikul kebersatupaduan.

Di Sabah bukan hanya penulis, akan tetapi ramai lagi mendapati Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor adalah sosok pemimpin bersama rakan-rakan pemimpin yang sejiwa dan sehaluan yang Sabah miliki pada masa ini yang mempunyai kesanggupan memikul kebersatupaduan.

Atas sifat kesanggupan itu, maka rakyat Sabah perlu mendokong dan menyokong, kerana era dokongan dan sokongan daripada bawah merupakan “game Changer” politik Sabah untuk masa kini dan masa hadapan.

Hajiji yang memimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menunjukan komitmen kepada rakyat berkaitan kesanggupan pengwujudan kebersatupaduan, apabila menggariskan misi jelas, iaitu kestabilan, Kemakmuran dan Kesejahteraan, menerusi pendekatan Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United demi Sayangi Sabah.

Dokongan dan sokongan daripada bawah akan menoktahkan pemimpin yang mengutamakan kepentingan peribadi seperti mana berlaku berdekad-dekad.

Yakin lah pemimpin yang mendapat dokongan/sokongan daripada bawah boleh membawa negeri dan rakyat kemercu kejayaan dan kegemilangan, kerana mereka ini, tidak akan boleh diperkotak-katikan oleh mana-mana pihak atau dengan kata lain tidak dapat diintimidasi oleh pihak-pihak tertentu jauh sekali sebagai pembodek atau pak angguk.

Untuk merealisasikan agar parti tempatan Sabah tidak lemah, maka rakyat perlu komited mendokong/menyokongnya, kerana menerusi kaedah demikian, para pemimpin yang sejiwa, sehaluan akan berkumpul sebagai satu pasukan kuat.

Pada masa yang sama, pemimpin yang memperkudakan rakyat akan tersisih dan seterusnya di masa hadapan, pemimpin Sabah hanya dibarisi oleh mereka yang berjiwa rakyat, komited untuk rakyat, dan tentunya mereka itu daripada rakyat untuk rakyat.

Pun demikian, usaha menyatupadukan rakyat berusaha di halang oleh para pemimpin Umno Sabah, kerana mereka tidak sudi politik tempatan Sabah dan Sarawak menjadi “Kingmaker” politik nasional.

Menerusi kenyataan-kenyataan para pemimpin Umno dan rakan parti itu dalam Barisan Nasional sangat jelas mereka menolak terwujudnya blok borneo. Selain keengganan Umno/BN, ketersepaduan juga cuba dihalang oleh parti Warisan Malaysia pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal.

Oleh kerana para pemimpin sangat susah untuk disatukan, maka rakyat sahaja yang boleh menyatukan mereka, dengan membuat keputusan untuk memilih parti yang bermisi RUMAH KITA, KITA JAGA.

Hakikat akan berlaku, apabila parti yang dipimpin para pemimpin yang cenderung pada perpecahan ditolak rakyat, maka jika mereka masih menjadikan politik sebagai medan mendekati rakyat, maka akan menyertai parti yang disokong rakyat.

Makna kata, pada PRN-17 Sabah, 1.9 juta pengundi Sabah akan menentukan masa depan politik negeri dalam arena politik negara.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .