Home » GRS-PH Plus perlu menang di DUN Melalap
Berita Tempatan Politik

GRS-PH Plus perlu menang di DUN Melalap

Ketibaan Hajiji disambut mesra oleh para perwakilan .

TENOM: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) perlu memastikan kemenangan berpihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor tidak mahu rakyat di Melalap rugi kerana diwakili oleh pembangkang.

Justeru, beliau mahu ahli-ahli GRS supaya bersatu hati bagi memastikan kemenangan bergaya bagi GRS-PH Plus di DUN Melalap.

Hajiji turut mengingatkan kepada pemimpin-pemimpin untuk belajar daripada kesilapan lampau yang mengakibatkan Sabah ketinggalan kerana perpecahan.

“Sejarah politik di Sabah asyik bergaduh. Ini harus jadi pengajaran, kalau bersatu hati dan bersandarkan kepada pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), negeri Sabah akan mendapat perubahan yang begitu besar pada masa hadapan.

“Gagasan Rakyat adalah sebuah parti berbilang kaum dan inilah matlamat perjuangan Parti Gagasan Rakyat Sabah untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada semua tanpa mengira kaum, agama dan keturunan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Melalap di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan untuk meneliti dan menimbang sebaik mungkin berkenaan usul-usul yang diluluskan Gagasan Rakyat Bahagian Melalap semasa mesyuarat tahunan itu.

Selain itu katanya, perkara berkaitan permohonan tanah, terdapat banyak permohonan yang dibuat bertahun lamanya tetapi sehingga sekarang belum mendapat kelulusan.

Menurutnya, terdapat tanah perkampungan yang didirikan dalam kawasan Hutan Simpan dan penduduk yang tinggal di kawasan itu akan dikeluarkan supaya mereka dapat tinggal di tanah rezab kampung yang sah.

Hajiji menegaskan, selepas mengambil alih kerajaan, beribu ekar kawasan tanah dikeluarkan daripada Hutan Simpan di seluruh Sabah.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengambil perhatian serius mengenai isu tanah yang sama di daerah Tenom.

Pada majlis itu, Hajiji menerima sebanyak 1,500 borang keahlian baharu Gagasan Rakyat Bahagian Melalap dan berkesempatan menyampaikan sumbangan ikhlas kepada mangsa bencana alam yang melanda Tenom pada 17 September lalu.

Turut hadir Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Melalap Datuk Jamawi Jaafar; Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kemabong Datuk Rubin Balang dan Bendahari Agung Gagasan Rakyat Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment