Home » WARISAN punca utama masalah air di Sabah tambah teruk
Berita Tempatan Politik

WARISAN punca utama masalah air di Sabah tambah teruk

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Dato' Sri Dr.Ruddy Awah yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas menyerahkan sumbangan Tabung Tahunan Pendidikan N.13 Pitas kepada wakil pihak sekolah sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Pitas Tahun 2024 di Dewan Majlis Daerah Pitas pada Isnin.

PITAS: Tindakan Parti Warisan (WARISAN) menamatkan konsesi syarikat yang mengurus operasi loji rawatan air (LRA) di seluruh Sabah ketika menjadi kerajaan negeri sebelum ini, punca utama menyebabkan masalah air di negeri ini bertambah teruk.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, WARISAN hanya berbohong apabila menyalahkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus berikutan masalah air yang berlaku pada masa ini.

Katanya, penamatan konsesi sembilan syarikat kontraktor yang dilantik oleh kerajaan terdahulu bukan saja menyebabkan kerajaan negeri disaman dan terpaksa membayar pampasan, malah menjejaskan pengurusan bekalan air sedia ada.

“Saya mahu jelaskan kenapa kita ada masalah air kerana WARISAN yang menyebabkan masalah air kita bertambah teruk. Apabila mereka mengambil alih kerajaan sebelum ini, mereka berdendam kepada kerajaan terdahulu.

“Apa yang mereka buat ialah mereka tamatkan kontrak konsesi syarikat kontraktor air. Sebanyak sembilan konsesi ditamatkan, jahat fikiran mereka.

“Apabila ditamatkan konsesi, bayangkan kerana ada perjanjian, kerajaan disaman, kerajaan rugi bayar RM315 juta kepada syarikat-syarikat konsesi ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Pitas di sini pada Isnin.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, selepas konsesi syarikat terbabit ditamatkan, kerajaan WARISAN melantik syarikat baharu pilihan mereka yang tiada pengalaman selain gagal melaksanakan kerja dengan baik untuk mengurus bekalan air di negeri ini.

Bagaimanapun jelasnya, sekarang WARISAN menuduh kerajaan GRS-PH Plus sedangkan syarikat kontraktor yang mereka lantik sendiri tidak pandai buat kerja hingga menyebabkan masalah air sekarang bertambah teruk.

“Rakyat tidak tahu perkara ini sedangkan kerajaan WARISAN sebelum ini yang tidak buat kerja dengan betul kerana sikap dendam mereka,” katanya.

Pada Disember 2018, Menteri Pembangunan Infrastruktur di bawah kerajaan WARISAN pada masa itu, Datuk Peter Anthony mengumumkan penamatan konsesi syarikat yang mengurus 58 LRA di Sabah berkuat kuasa pada Januari 2019.

Syarikat terbabit yang dilantik kerajaan terdahulu pada 2013 mempunyai kontrak perjanjian selama 20 tahun untuk mengurus LRA di negeri ini.

Berikutan penamatan perjanjian itu, kerajaan negeri disaman dan terpaksa membayar pampasan antara RM22 juta hingga RM54 juta bagi setiap syarikat kontraktor dengan jumlah keseluruhan pampasan dibayar kerajaan sebanyak RM315.2 juta.

Hajiji berkata, selepas mengambil alih kerajaan negeri pada September 2020, beliau dinasihatkan untuk membatalkan konsesi syarikat kontraktor baharu dilantik kerajaan WARISAN sebelum itu, namun langkah itu dilihat menambahkan lagi beban kerajaan.

“Kalau kita buat begitu, kerajaan disaman lagi dan kita kena bayar lagi pampasan kepada syarikat konsesi baharu itu. Jadi, saya kata teruskan saja hingga tamat konsesi.

“Saya tidak pandai berdendam atau kacau orang. Saya tidak tamatkan kerja mereka kerana saya prihatin, saya kata teruskan saja kerja.

“Kalau saya macam mereka (WARISAN) banyak sudah dibuang. Tapi saya tidak buat begitu kerana kita mesti timbang rasa dan beri keadilan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu rakyat tidak terpengaruh dengan pembohongan WARISAN yang ketika ini giat melakukan jelajah menyampaikan ceramah di seluruh negeri.

Pihaknya diserang siang dan malam dengan pelbagai fitnah dan cerita tidak benar oleh WARISAN, namun fakta menunjukkan kerajaan pimpinannya melakukan yang terbaik berpandukan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) boleh diadakan lebih awal jika beliau memutuskan untuk mengadakannya sebelum tarikh tamat tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang.

“PRN akan datang paling akhir pada Oktober tahun depan, jadi saya fikirlah bila kita akan adakan PRN. Kalau saya fikir awal, maka awallah…kerana itu, kita kena bersiap sedia dari sekarang,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment