TAMBUNAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tambunan menjamin akan bekerja kuat bagi memastikan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Datuk Victor P. Paut berkata, komitmen berkenaan adalah matlamat penubuhan Gagasan Rakyat di Tambunan iaitu untuk mengukuhkan kedudukan GRS di Tambunan.
Beliau sekali lagi menafikan tanggapan bahawa kemunculan parti itu di daerah ini mahu merampas atau mengambil alih kepimpinan di Tambunan yang ada sekarang.
Katanya, sejak kemunculan Gagasan Rakyat di Tambunan, ia telah mengubah suasana politik yang amat ketara dimana parti itu menerima sambutan rakyat yang luar biasa.
“Keadaan ini telah merisaukan sesetengah pihak sehingga timbul berbagai persepsi kononnya Gagasan Rakyat boleh menimbulkan perpecahan dan menjejaskan keharmonian dalam kalangan parti-parti komponen GRS di Tambunan.
“Justeru, saya ingin menegaskan di sini, selaku ketua bahagian Gagasan Rakyat Tambunan saya menafikan tanggapan ini kerana matlamat utama penubuhan parti ini di Tambunan adalah untuk membantu mengukuhkan kedudukan GRS Tambunan, terutamanya dalam menghadapi PRN akan datang.
“Gagasan Rakyat mahu memastikan calon GRS menang besar dalam PRN akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan 2024, di sini baru-baru ini.
Seramai 800 perwakilan termasuk tiga sayap parti itu, pergerakan pemuda, pergerakan wanita dan pergerakan beliawanis menghadiri mesyuarat itu.
Turut hadir Pengerusi Tetap Gagasan Rakyat Tambunan, David Awot; Timbalan Pengerusi Tetap, Rainus Adin; Timbalan Ketua Bahagiaan, Mohd Yassin Mohd Yunus; Ketua Wanita, Datuk Hajah Amelia Anjun; Setiausaha Bahagian, Mohd Hajjaz Iqbal Yusof; Naib Ketua Pemuda, Ben Adner Basal; dan Ketua Beliawanis, Vianney Evana Vide.
Sementara itu, Victor berkata, Gagasan Rakyat Tambunan ketika ini sudah menjangkau 9,000 keahlian selepas pelancaran Gelombang Merah baru-baru ini.
Katanya, jumlah keahlian ini jauh mengatasi ahli parti lain dalam parti komponen GRS Tambunan.
“Ini kerana sambutan dan sokongan rakyat terhadap Gagasan Rakyat Tambunan tidak henti-henti kerana hampir setiap hari ada sahaja rakyat Tambunan datang secara sukarela ke pejabat parti untuk mendapatkan borang permohonan ahli serta penubuhan cawangan baharu.
“Hari ini (baru-baru ini) pun, Gagasan Rakyat Tambunan turut menerima puluhan ahli baharu, antaranya bekas Ketua Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tambunan, Nanti Koris dan penyokongnya.
“Ini jelas menunjukkan keterbukaan minat mereka untuk menyertai parti ini,” katanya.
Oleh itu, beliau menyeru kepimpinan Gagasan Rakyat Tambunan untuk mempergiatkan lagi gerakan penambahan ahli dan penambahan penubuhan cawangan.
Beliau turut menyeru pergerakan pemuda dan pergerakan beliawanis untuk meneroka program berkaitan belia seperti sukan dan sebagainya.
“Ini bertujuan menarik minat golongan belia menyertai Gagasan Rakyat, kerana belia merupakan pewaris kepimpinan di masa hadapan,” katanya.
Ketika ditemui pemberita, Victor berkata, penambahan jumlah Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada 40 buah bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah pada tahun depan membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membela nasib rakyat di negeri ini.
Katanya, penambahan Rumah Mesra SMJ ini akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Sabah yang tidak berkemampuan untuk memiliki rumah, selaras dengan inisiatif Hala Tuju SMJ untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Pengumuman itu sudah pasti dialu-alukan oleh rakyat khusunya golongan miskin tegar.
“Saya dan kepimpinan Gagasan Rakyat Tambunan menyambut baik pengumuman ini dan berharap agensi yang dipertanggungjawab mengurus atau mengendalikan bantuan ini dapat menyalurkannya kepada rakyat yang benar-benar memerlukannya,” katanya.
Add Comment