TAWAU: Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau berusaha meningkatkan hubungan diplomatik antara Indonesia-Sabah terutamanya di lima daerah iaitu Tawau, Kunak, Lahad Datu, Kalabakan dan Semporna.
Ketua KRI di Tawau, Aris Heru Utomo berkata, pihaknya komited wujudkan kerjasama dengan Sabah khususnya yang melibatkan negeri-negeri yang berada di Pulau Kalimantan, Indonesia.
Katanya, banyak isu yang perlu ditingkatkan termasuklah bidang sosial budaya, pendidikan, perlindungan warga negara Indonesia (WNI) dan ekonomi serta perdagangan daerah perbatasan.
“Kami melihat bahawa pentingnya menjaga jalinan hubungan masyarakat kerana keadaan geografi lima daerah di negeri ini berhampiran dengan perbatasan Indonesia.
“Secara demografi masyarakat banyak warga Malaysia di Sabah adalah keturunan dari Indonesia, terutama etnik seperti Jawa, Bugis, Nusa Tenggara dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Menurutnya, dalam bidang pendidikan juga, KRI di Tawau memohon kerjasama kerajaan Sabah supaya memberi perhatian terhadap anak-anak Indonesia yang ibu bapa mereka bekerja di ladang di negeri ini.
“Ketika ini anak Indonesia diberi pendidikan melalui Community Learning Center (CLC) yang dikelola bersama oleh syarikat perladangan dan kerajaan Indonesia.
“Kami berharap kerajaan Sabah dapat mempercepatkan proses pengurusan surat-surat izin yang telah dikemukakan oleh CLC supaya pendidikan anak-anak Indonesia berjalan lancar,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, KRI di Tawau memohon supaya kerajaan Sabah dapat melakukan pemutihan terhadap warga Indonesia yang datang ke Sabah secara tidak sah atau tidak memiliki dokumen diri.
“Pemutihan ini membolehkan kedua-dua pihak iaitu pekerja warga Indonesia dan syarikat di Sabah mendapat manfaat yang sewajarnya.
“Pekerja Indonesia boleh memiliki dokumentasi yang jelas dan dapat bekerja secara sah, manakala pihak syarikat pula memiliki pekerja berdokumentasi,” katanya.
Aris berkata, pertemuan yang diadakan ini mencapaikan kata sepakat dalam meningkatkan kerjasama ekonomi perbatasan kedua-dua negara.
“Kerjasama ini sangat penting memandangkan ibu negara Indonesia telah berpindah dari Jakarta ke Nusantara di Kalimantan Timur.
“Justeru, saya berharap KRI di Tawau dan Sabah dapat meningkatkan jalur perdagangan menerusi laut, darat dan udara.
“Kita telah mendapat respon yang baik daripada kerajaan Sabah terutamanya mempercepatkan pembangunan jalan di perbatasan Simanggaris dan pengangkutan udara Tawau-Tarakan,” katanya.
— TAMAT
Add Comment