Home » Jangan terpengaruh dakyah pembangkang – Nizam
Berita Tempatan Politik

Jangan terpengaruh dakyah pembangkang – Nizam

NIZAM bersama Mizma dan AJK Gagasan Rakyat Bahagian Silam pada Mesyuarat Tahunan berkenaan.

LAHAD DATU: Rakyat disaran agar menilai sendiri pencapaian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan tidak mengendahkan dakyah pembangkang yang cuba menjatuhkan Presiden parti, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Pusat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah sangat prihatin terhadap rakyat.

Nizam berkata, keprihatinan beliau dapat dilihat melalui usaha berterusan yang dilaksanakan bagi meletakkan Sabah kembali ke landasan yang betul.Katanya, masyarakat boleh melihat pencapaian yang dikecapi semasa menjadi kerajaan selama empat tahun ini.

“Hasil pendapatan negeri kita tahun demi tahun menunjukkan peningkatan yang begitu memberangsangkan. Pelabur menunjukkan keyakinan untuk melabur di tempat kita.

“Usaha yang dibawa oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor untuk meletakkan Sabah ini kembali ke landasan yang betul, dengan menyelesaikan isu-isu legasi seperti air, elektrik dan jalan raya, menampakkan satu usaha yang cukup baik bagi mengatasi perkara-perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Silam.

“Contohnya dapat dilihat melalui pengumuman penambahan 20 unit rumah bagi golongan memerlukan di mana 40 unit disediakan pada tahun hadapan.

“Perkara ini dapat direalisasikan kerana kita mempunyai pendapatan dan kewangan yang semakin kukuh dan diserahkan kembali kepada rakyat.

“Banyak lagi usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan mengikut pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita yakin bahawa kalau kita berpegang kepada ini, terus menyokong dan mendukung kerajaan GRS-PH ini, Sabah akan menjadi sebuah negeri maju dan berjaya pada masa akan datang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Nizam turut mengucapkan syabas kepada Gagasan Rakyat Bahagian Silam di bawah pimpinan Ketua Bahagian, Datuk Mizma Appehdullah yang berjaya menubuhkan 91 cawangan.

Tambahnya, ini membuktikan bahawa Gagasan Rakyat semakin menarik minat masyarakat untuk sama-sama berjuang dan membela nasib rakyat.

—  Azmie Lim

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment