Home » Empat tahun yang cemerlang
Politik Sudut Pandangan

Empat tahun yang cemerlang

KENANGAN: Hajiji (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian peserta program Sabah Motor Day (SMD) 7.0.

BATON kuasa pemerintahan Sabah beralih ke tangan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada 29 September 2020.

Masa bergerak laju. Seperti baru semalam istiadat angkat sumpah berlaku, rupanya sudah empat tahun berlalu.

Sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16, Hajiji menggalas tugas pada waktu dan suasana paling mencabar — pasca pandemik COVID-19. 

Malah, beliau sendiri disahkan positif COVID-19 dan terpaksa mengurus pentadbiran negeri dari Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu, tempat beliau menjalani rawatan dan kuarantin.

Hajiji dirawat di hospital itu mulai 9 Oktober, tidak sampai dua minggu selepas mengangkat sumpah — pada ketika urusan pentadbiran negeri masih belum tersusun rapi.

Di sebalik halangan dihadapi, beliau tekad mengurus negeri. Baginya, mandat rakyat adalah amanah sebuah perjuangan. 

Rakyat mengangkatnya sebagai pemimpin negeri, justeru khidmat sebaiknya harus kembali kepada rakyat bagi memenuhi harapan mereka.

Bertatih dari cabaran itu, Hajiji tidak membuang waktu. Sebagai nahkoda negeri, beliau segera mengemudi pentadbiran, memperkenalkan hala tuju baharu supaya Sabah bangkit dari ketidaktentuan waktu itu ketika ekonomi menjadi gawat di seluruh dunia.

Tanpa menoleh ke belakang, Hajiji terus melangkah laju, membawa obor Sabah Maju Jaya (SMJ) — iaitu inisiatif yang diperkenalkannya bagi mengubah dimensi ekonomi dan landskap pembangunan negeri.

Hari ini, keberhasilannya mulai kelihatan. Sepanjang empat tahun pertama, Sabah sudah melakar banyak kejayaan yang nyata dari segi data. Dan jelas dari sudut fakta.

Tidak syak lagi, Sabah  berada di landasan tepat untuk terus maju dan membangun. Paksinya bersandar hala tuju SMJ sebagai pemicu dasar pembangunan negeri.

Yang jelas, kepemimpinan Hajiji telah membawa beberapa perubahan penting dalam politik, ekonomi dan pembangunan negeri. 

Pendekatan politiknya inklusif, membawa kepada kestabilan politik menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus – berasaskan prinsip akomodatif.

Menerusi GRS-PH Plus telah terbentuk perpaduan politik yang penting untuk kestabilan pentadbiran.

Lebih penting, Hajiji telah berjaya memperkukuhkan hubungan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan. 

Ia menjambatani kerjasama dalam isu-isu penting seperti pembangunan infrastruktur, autonomi negeri dan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pembangunan sektor ekonomi dan pelaburan juga bertambah rancak sepanjang empat tahun ini. 

Terbukti dengan peningkatan pelaburan asing, terutama dari China. Hajiji telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan strategik.

Pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi rakyat, terutama di kawasan luar bandar turut diperhebatkan bagi memenuhi keperluan. 

Terbaru, pengumuman mengenai tambahan kepada 40 rumah SMJ di setiap 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Secara keseluruhan, pembangunan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi Sabah dalam empat tahun ini berfokus kepada pemulihan pasca-pandemik, pengukuhan infrastruktur dan peningkatan daya saing dalam sektor perladangan, pelancongan serta tenaga.

Hajiji mempamerkan gaya kepimpinan pragmatik dan inklusif, dengan tumpuan kepada kestabilan politik, memperjuangkan hak Sabah serta memacu pertumbuhan ekonomi negeri. 

Walaupun berdepan pelbagai cabaran politik kepartian dan infrastruktur, kepimpinan beliau telah berjaya memperkenalkan dasar yang memberi impak positif kepada pembangunan Sabah.

Sebagai petarung sejati, Hajiji pantas berlari sehingga berhasil membangunkan negeri. Di sebalik sifat rendah hati, beliau tidak menyerah ketika kesulitan menghadang. Dan tidak pula putus asa ketika halangan menerjang. 

Kerana baginya, kesulitan dan halangan menjadi iltizam mencipta kejayaan. Matlamat utama adalah untuk membangun negeri, memakmurkan rakyat.

Syabas untuk empat tahun yang cemerlang!

*Datuk Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment