Home » Empat tahun Kerajaan GRS bersama rakyat
Politik Sudut Pandangan

Empat tahun Kerajaan GRS bersama rakyat

SAH:Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 , pada 29 September 2020 di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri. Foto :BERNAMA

Genap empat tahun yang lalu saya mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16. Pada ketika itu, negara berdepan dengan penularan COVID-19 dan ketidakstabilan politik. Keadaan amat rumit dan mencabar. Ekonomi negeri dan negara jatuh merundum.

Dibahu saya terpikul amanah dan harapan rakyat Sabah untuk keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah dilalui oleh kita semua sebelum ini.

Dengan penuh iltizam dan keazaman, saya beserta pimpinan negeri merancang dan melaksana dasar kerajaan melalui Hala Tuju SMJ yang menjadi panduan kepada pembangunan dan kemajuan Sabah dalam tempoh 5 tahun kehadapan.

Alhamdulillah, sejak empat tahun ini, kerajaan yang saya pimpin telah berjaya merekodkan beberapa pencapaian yang signifikan khususnya dalam soal ekonomi, pembangunan, sosial dan keperluan rakyat.

Kerajaan berjaya meningkatkan hasil negeri, dengan mencatatkan kutipan tertinggi dalam sejarah tiga tahun berturut-turut (2021 = RM5.45 bilion; 2022 = RM6.96 bilion; 2023 = RM6.97 bilion). Dengan hasil yang bertambah kerajaan berupaya melaksanakan pelbagai program berteraskan rakyat. Antaranya dalam bidang pendidikan, kerajaan perkenalkan inisiatif BUDI sejak tahun 2021 untuk membantu para pelajar Sabah yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT dengan pemberian sebanyak RM2,000 (ijazah sarjana muda) dan RM1,500 (diploma, asasi dan matrikulasi). Kerajaan turut perkenalkan inisiatif BAKTI yang memanfaatkan puluhan ribu pelajar Sabah yang menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM dengan pemberian RM200 seorang. Kerajaan turut menyalurkan bantuan RM2,000 kepada semua PIBG sekolah seluruh negeri selain inisiatif BALKIS yang membolehkan sekolah-sekolah memohon untuk melaksanakan pembaikan kecil-kecilan berjumlah RM50,000. Kerajaan turut memperkenalkan subsidi kapal terbang kepada pelajar kita yang belajar di Semenanjung, Sarawak dan Labuan dengan pemberian sebanyak RM600. Pastinya inisiatif ini akan terus dilaksanakan malah ditambah baik pada masa akan datang.

Kerajaan turut melaksanakan projek pembinaan Rumah Mesra SMJ sejak tahun 2022 dengan peruntukan sebanyak 20 unit setiap kawasan DUN. Insha Allah kita akan tambah peruntukan kepada 40 unit bagi setiap kawasan DUN pada tahun hadapan. Ini kita lakukan bagi memastikan golongan miskin di negeri ini memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa untuk diduduki. Ada banyak lagi inisiatif yang kita laksanakan melalui peningkatan hasil kerajaan negeri yang saya nyatakan.

Selain itu, kerajaan turut memberi fokus kepada sektor pelaburan yang mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Kerajaan turut berupaya mencatatkan peningkatan KDNK negeri empat tahun berturut-turut sejak 2021 selain mengekalkan prestasi pertumbuhan ekonomi positif dengan unjuran 4% hingga 4.5% pada tahun ini.

Saya yakin, banyak lagi yang perlu dilakukan oleh saya dan kerajaan ini untuk terus membela nasib rakyat Sabah. Saya berazam untuk terus berusaha menjadi ketua kerajaan yang kompeten demi masa depan negeri tercinta ini.

Dengan sokongan semua pihak khususnya rakan-rakan saya dalam kerajaan GRS + PH Plus, dibantu dengan kecekapan penyampaian penjawat awam dan sokongan padu rakyat Sabah secara keseluruhan, saya optimis kita boleh membawa Sabah lebih maju dan jaya pada masa akan datang.

*Catatan FB Ketua Menteri ,YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada 29 September 2024