Home » Beliawanis Gagasan Rakyat diingatkan tangkis fitnah pihak lawan guna fakta
Berita Tempatan Politik

Beliawanis Gagasan Rakyat diingatkan tangkis fitnah pihak lawan guna fakta

Emmie (kiri) terima cenderakenangan dari Ketua Beliawanis Tempasuk, Puan Alffera Deanna Wong.

KOTA BELUD: Semua Ahli Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diingatkan untuk sentiasa bersiap sedia menangkis fitnah dan tohmahan pihak lawan (pembangkang) dengan menggunakan fakta.

Justeru itu, ketuanya, Emmie Datuk Martin Idang berkata, ahli Beliawanis perlu cakna dan tangkas dalam menangkis segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh pihak musuh.

“Tindakan yang kita ambil perlulah segera, dan di dalam kesegeraan itu perlulah mempunyai ilmu dan pengetahuan, kita tidak boleh menangkis fitnah atau tohmahan dengan fitnah juga.

“Jangan juga dikatakan gah bercakap tetapi kosong atau sajikan janji janji manis di pentas. Kita perlukan fakta, dan fakta ini datangnya daripada ilmu. Tetapi tidak guna jika kita hanya mempunyai fakta tanpa tindakan.

“Justeru, saya menyeru agar semua kita di sini lengkapkan diri kita dengan ilmu dan bertindak untuk mempertahankan presiden atau parti kita dengan fakta,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Beliawanis Bahagian Tempasuk di sini, pada Sabtu.

Tambah Emmie, serangan politik dari pihak lawan sudah mula kelihatan dari sekarang memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) hampir tiba.

“Jika kita lihat trend yang berlaku, serangan-serangan politik ini sudah mula dibuat untuk memperlihatkan kelemahan parti kita, ada serangan ini berbentuk peribadi mahupun parti. Tapi yang jelas, serangan-serangan ini lebih berbentuk tohmahan dan fitnah semata-mata.

“Fitnah atau tohmahan ini merupakan senjata yang berbisa jika tidak ditangani dengan cermat dan bijaksana. Ini kerana, perkara yang paling sulit adalah apabila kita berlawan dengan persepsi rakyat.

“Jika seringkali fitnah dan tohmahan ini dilemparkan kepada kita, pasti ada dikalangan rakyat yang termakan dan terkesan biarpun perkara yang disebut itu suatu fitnah. Apatah lagi orang ramai suka mendengar berita sensasi serta ‘gossip’,” jelasnya.

Sementara itu, Emmie sekali lagi menegaskan kepentingan ilmu pengetahuan dalam menyampaikan kepada masyarakat hingga ke akar umbi mengenai dasar dan inisiatif yang sudah pernah dilaksanakan oleh kerajaan.

— TAMAT