Home » Undi ditolak di Sabah tertinggi pada PRU14, apa makna menjelang PRU15?
Berita Tempatan

Undi ditolak di Sabah tertinggi pada PRU14, apa makna menjelang PRU15?

Datuk Mohamad Alamin menyifatkan peratusan undi ditolak atau rosak tidak mencerminkan penolakan terhadap parti-parti politik di Sabah. – Gambar hiasan

KIMANIS: Sabah merekodkan peratusan undi ditolak tertinggi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu sebanyak 1.72 peratus daripada jumlah pengundi yang keluar.

Undi ditolak bermaksud undi yang dikeluarkan kepada pengundi tetapi tidak disempurnakan dengan betul.

Di akhir pengiraan undi, Ketua Tempat Mengundi (KTM) selepas berunding dengan ejen-ejen pilihan raya akan menentukan sama ada undi-undi yang meragukan boleh diterima atau perlu ditolak. 

Perkara ini berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya, terdapat tanda dalam lebih daripada satu petak calon; terdapat tanda disapu; nama pemilih atau tanda-tanda lain yang boleh mengenalkan pemilih ditulis atas kertas undi.

Dalam konteks PRU15, jika peratusan sama (1.72 peratus) diambil dan menganggarkan semua 1,689,387 pengundi berdaftar di Sabah keluar mengundi, undi ditolak boleh mencecah 29,000 undi.

Apa makna di sebalik undi ditolak? Apakah faktor yang dinyatakan di atas cukup untuk mempengaruhi punca berlakunya keadaan ini?

Astro AWANI mendapatkan pandangan dua penyandang kerusi Parlimen mewakil Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan (Warisan).

Penyandang kerusi Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin menyifatkan peratusan undi ditolak atau rosak tidak mencerminkan penolakan terhadap parti-parti politik di Sabah.

“Saya tidak melihat undi rosak yang tinggi sebagai penolakan kepada parti-parti, tidak. Tetapi saya lebih melihat kepada soal didikan atau pengetahuan.

“Jadi perlu satu didikan dan pengetahuan diberikan secara tepat kepada para pengundi supaya mereka dapat memangkah di petak yang betul, jangan sampai ia menjadi undi rosak ,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini.

Timbalan Menteri Pendidikan itu menambah, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan literasi politik diberikan kepada para pengundi.

“Semua parti pun kena bagi didikan kepada para pengundi, dan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri, saya berharap mereka juga boleh buat program tertentu untuk mendidik masyarakat.

“Ini supaya tidak lagi berlaku tersalah cara mengundi, yang akhirnya akan dikira sebagai undi ditolak atau undi rosak,” tambah Mohamad.

BN sebelum ini memberi bayangan yang jelas untuk mencalonkan semula Mohamad bagi mempertahan kerusi Parlimen Kimanis pada PRU15.

Mengikut dapatan kajian Astro AWANI bersama Universiti Malaya (UM), lima Parlimen tertinggi yang mencatatkan peratusan undi ditolak ialah Beluran; Kota Marudu; Cameron Highlands; Beaufort; serta Kinabatangan.

UNDI DITOLAK DISENGAJAKAN?

Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Papar, Ahmad Hassan pula tidak menolak kemungkinan ia disengajakan.

Keadaan itu pada pandangan beliau, boleh berlaku apabila para pengundi tidak bersetuju dengan calon yang dikemukakan bagi mewakili parti atau kawasan ditandingi.

“Jadi apabila mereka tidak puas hati, daripada saya (pengundi) bagi undi ini kepada orang sebelah (calon lain), adalah lebih baik saya rosakkan,” katanya.

Ujar Ahmad, sukar untuk melakukan pemantauan bagi mengelakkan kejadian undi ditolak.

Tambah beliau, saingan penjuru yang banyak di satu-satu kawasan juga mungkin menjadi faktor pengundi keliru untuk mengundi, sekali gus kemungkinan besar menyebabkan mereka merosakkan undi.

“Bila pilihan raya datang, ramai (calon) datang dengan tawaran dan profile. Satu tempat yang kosong… empat lima orang yang mencalonkan diri (untuk bertanding).

“Jadi, kalau mereka tidak tercalon, orang-orang ini akan memberontak kecuali ada persefahaman atau rundingan di antara satu sama lain,” katanya.

Warisan sebelum ini turut mengesahkan Ahmad akan kekal bertanding di Parlimen Papar, selepas beliau menang pada PRU14 dengan majoriti 325 undi.

AWANI

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment