Home » Jalan runtuh di Kampung Wakuba Gading siap 90 peratus
Berita Tempatan Politik

Jalan runtuh di Kampung Wakuba Gading siap 90 peratus

TINJAU: Nizam ketika turun padang bersama jurutera JKR Tawau meninjau kerja-kerja baik pulih jalan di Kampung Wakuba.

TAWAU: Selepas hampir setahun mengalami kesukaran, penduduk Kampung Wakuba Gading, di sini boleh menarik nafas lega apabila jalan runtuh yang dibaiki siap 90 peratus dan sudah boleh dilalui dengan kereta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihaknya sebelum ini dimaklumkan bahawa berlaku tanah runtuh di jalan kampung berkenaan hampir setahun lalu.

Namun, katanya, tiada tindakan pembaikan dilakukan oleh pihak berkaitan khususnya konsesi yang dilantik untuk menjaga dan menyelenggara jalan di sekitar kampung ini.

“Sebelum ini, saya telah mengambil inisiatif berhubung segera dengan jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Tawau untuk mendapatkan maklumat mengenai status projek pembaikan jalan berkenaan.

“Pihak JKR Tawau memaklumkan bahawa jalan ini telah mendapat kelulusan peruntukan daripada kementerian dan akan dilaksanakan segera selepas semua perkara teknikal diselesaikan,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika turun padang meninjau keadaan jalan di kampung berkenaan, di sini semalam.

Mengulas lanjut, katanya, ketika ini pihak konsesi telah melaksanakan pembaikan jalan berkenaan dan 90 peratus jalan itu sudah dibaiki.

“Saya berharap jalan ini akan memberi kemudahan kepada penduduk kampung di sini dan ia sekali gus menjadikan perjalanan harian mereka lebih selamat,” katanya.

Sementara itu, Nizam turut berharap pihak konsesi yang dilantik untuk menyelenggara jalan ini terus mempertingkatkan pemantauan mereka.

Katanya, ia bagi memudahkan pihak konsesi bertindak segera sekiranya terdapat jalan-jalan di kawasan ini mengalami kerosakan tanpa menunggu lama.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak JKR Tawau kerana memberi respon yang positif dan mengambil tindakan dengan segera.

“Harapan kita sekiranya ada perkara yang perlu perhatian wakil rakyat di DUN Apas supaya dapat memaklumkan dengan saya untuk diambil tindakan segera,” katanya.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment