Home » Tidak perlu tunggu geran tanah laksana projek Persekutuan
Berita Tempatan Politik

Tidak perlu tunggu geran tanah laksana projek Persekutuan

ALBUM: Hajiji (tengah), James (kanan), Shahelmey (dua kiri), Christina (kiri) dan Masidi (dua kanan) serta tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan sebelum memulakan mesyuarat.

KOTA KINABALU: Projek pembangunan Persekutuan seperti sekolah dan klinik boleh dilaksanakan tanpa perlu menunggu geran tanah selagi tanah berkenaan diwartakan untuk tujuan itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, sekiranya tanah diperlukan untuk membina sekolah atau klinik, kerajaan negeri perlu memudahkan perkara berkenaan supaya tiada kelewatan dalam pelaksanaan projek-projek itu.

Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja ke Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) pada Selasa di sini.

Hajiji turut menggesa pihak kementerian berhubung dengan agensi-agensi Persekutuan yang berkaitan di Sabah untuk memperkukuh kerjasama dengan mereka.

“Jika ada penglibatan dan kerjasama, kita boleh melaksanakan projek pembangunan dengan lancar,” katanya sebagai respon kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

Hajiji turut memuji KPMKR atas rancangan proaktifnya untuk meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan rakyat melalui penubuhan Pusat Autisme Sabah di Sembulan serta perolehan Positron Emission Tomography scan (PET scan) dan Single-Photon Emission Computed Tomography (SPECT scan) yang bernilai jutaan ringgit.

Katanya, mesin PET dan SPECT scan digunakan untuk pengesanan kanser di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.

Terdahulu, Hajiji serta rombongan menerima taklimat daripada Setiausaha Tetap KPMKR, Datuk Maria Chong mengenai program-program dan rancangan kementerian untuk masa hadapan.

“Saya melihat KPMKR sebagai komponen penting dalam sistem kerajaan, lebih-lebih lagi kesejahteraan rakyat adalah salah satu fokus dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim, Menteri Pelancongan, Alam Sekitar dan Kebudayaan Datuk Seri Panglima Christina Liew dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment