KOTA KINABALU: Golongan wanita di negeri ini diingatkan supaya tidak lupa tanggungjawab yang harus dipikul terutama dalam memperkasakan wanita sebagai ejen perubahan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) Haslina Ismail berkata, dalam agenda 2030, kesetaraan gender adalah salah satu matlamat utama SDG untuk menekankan pentingnya memastikan penyertaan penuh dan berkesan wanita dalam kepimpinan serta menghapuskan semua bentuk diskriminasi dan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.
Katanya, langkah itu bukan hanya satu tanggungjawab moral tetapi juga satu keperluan untuk mencapai pembangunan yang mampan dan inklusif.
Menurutnya, wanita mempunyai potensi yang luar biasa untuk membawa perubahan dari segi ekonomi.
“Wanita yang berdaya saing dan berpendidikan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dalam aspek sosial.
“Mereka sering menjadi pemimpin dalam komuniti yang berperanan dalam pendidikan, kesihatan dan keluarga dengan memperkasakan wanita.
“Kita tidak hanya membantu individu tetapi kita juga membina masyarakat yang lebih seimbang dan harmonis,” katanya pada Program JHEWA ‘Synergy Night’ pada Isnin di sini. Majlis itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng.
Haslina berkata, sebagai individu dan komuniti, wanita harus terus berusaha untuk memberikan sokongan kepada wanita dalam semua aspek termasuk dari segi pendidikan, kesihatan, sosial dan politik.
Beliau turut percaya dengan adanya kerjasama dan komitmen semua pihak, ia dapat mewujudkan dunia iaitu setiap wanita mempunyai peluang yang sama untuk mencapai potensi mereka.
Dalam pada itu katanya, terdapat lebih daripada 180 badan bukan kerajaan (NGO) wanita yang berdaftar di bawah JHEWA Sabah dan jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan pendaftaran NGO yang sangat ketara.
Menurutnya, setiap tahun, kerajaan negeri memberi peruntukan kepada wanita melalui JHEWA dan tahun ini, penyerahan geran kepada 32 NGO yang berdaftar adalah bukti keterlibatan NGO wanita dari pelbagai daerah menjadi penggerak dalam masyarakat bersama-sama dengan JHEWA.
“Tahun ini, kita memberi fokus kepada pemberian geran berkaitan isu gender, keganasan rumah tangga dan kesihatan mental.
“Hal ini memberi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat, khususnya wanita,” katanya.
Sementara itu, Flovia dalam ucapan perasmiannya berkata, NGO adalah medium penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Menurutnya, tahun hadapan sebanyak RM1.5 juta peruntukan diberikan kepada rakyat untuk memperkasakan golongan wanita melalui geran kepada NGO.
“Hal ini amat menggembirakan saya kerana dengan adanya peruntukan ini, ia dapat memberi impak yang lebih besar. Saya mohon kerjasama yang erat daripada pihak NGO bersama-sama dengan JHEWA untuk menyumbangkan perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat.
“Bagi membentuk masyarakat yang harmoni dan bertanggungjawab, NGO wanita mempunyai peranan penting dalam penyampaian maklumat kepada komuniti khususnya di Sabah.
“Walaupun lakaran kejayaan demi kejayaan terus dicapai, kita tidak harus berpuas hati. Tugas untuk memperkasakan wanita perlu sentiasa diperkemaskan dari semasa ke semasa agar wanita terus berjaya,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya menyokong usaha Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) menerusi penganjuran program-program kesedaran yang menjurus kepada menyantuni golongan wanita terutama ibu tunggal dan golongan wanita B40.
Pada majlis itu, sebanyak empat NGO wanita masing-masing menerima geran berjumlah RM5,000.
Selain itu, JHEWA turut melancar lagu rasmi jabatan yang ditujukan khas kepada para wanita sekali gus menaikkan semangat dan menunjukkan komitmen JHEWA terhadap pemerkasaan wanita.
Penganjuran majlis itu juga, bukti komitmen JHEWA untuk memperkasa pembangunan wanita di Sabah selaras dengan objektif untuk meningkatkan penyertaan dan keterlibatan wanita dalam pembangunan negara melalui pelaksanaan dan penyelarasan program-program pembangunan selaras dengan dasar wanita negara.
— Siti Aisyah Narudin
Add Comment